Resepi Nasi Kak Wok

Nasi Kak Wok ialah nasi berlauk untuk makan tengahari yang popular di Kelantan. Nasi Kak Wok terdiri dari empat komponen utama iaitu nasi putih beras Siam, ayam goreng kunyit garing, gulai kari ayam dan sambal belacan. Ayam goreng dan gulai dipotong kecil.

Berikut kami kongsikan resipi Nasi Kak Wok untuk anda cuba masak sendiri di rumah.


Ramuan / Bahan-bahan Nasi Kak Wok

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ayam goreng kunyit dan ayam gulai untuk nasi Kak Wok.


a) Bahan-bahan Gulai/Kari Ayam
  • 1/4 ekor ayam
  • 1 paket kecil 24gm rempah kari ayam atau daging Babas / Adabi / Orang Terbang
  • 200 ml santan
  • 1 liter air
  • Air asam jawa atau asam keping secukup rasa
  • 1 tangkai daun kari - dilurut
  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 5 biji buah pelaga
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 4 batang kacang panjang
  • 1 biji terung
  • Garam dan gula

b) Bahan-bahan Ayam Goreng
  • 1/2 ekor ayam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • Garam
  • Minyak masak


Penyediaan Bahan-bahan

  • Potong ayam kecil-kecil, bersihkan, kemudian tuskan.
  • Bancuh serbuk kari dan serbuk cili dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Kisar atau mayang bawang putih dan bawang merah.
  • Gaulkan ayam untuk digoreng dengan serbuk kunyit dan garam. Perap sekejap.
  • Potong kacang panjang dan terung.

resepi nasi kak wok original


Cara Membuat Nasi Kak Wok

Berikut adalah cara memasak ayam goreng kunyit dan ayam gulai untuk nasi Kak Wok.


Cara Memasak Gulai Ayam
  1. Panaskan minyak dalam periuk dengan api sederhana.
  2. Tumiskan bawang putih, bawang merah, daun kari, bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga sehingga wangi.
  3. Masukkan pes kari dan tumis sampai garing dan pecah minyak.
  4. Masukkan ayam berserta air secukupnya dan kacau rata.
  5. Kemudian masukkan santan, air asam jawa, gula dan garam secukup rasa.
  6. Besarkan api dan kacau sehingga mendidih. Kuah hendaklah sentiasa dikacau untuk mengelakkan santan dari berketul.
  7. Bila dah mendidih masukkan kacang panjang dan terung.
  8. Tutup api bila sayur layu.

Gulai kari ayam Kak Wok lebih cair berbanding kari ayam biasa. Rasa karinya tidak kuat (mild), ada rasa lemak dan sedikit manis.


Cara Memasak Ayam Goreng Kunyit
  1. Panaskan minyak dalam kuali.
  2. Goreng ayam yang telah diperap sehingga garing.


Cara Hidangan Nasi Kak Wok

Hidangkan ayam goreng dan gulai ayam panas-panas bersama nasi putih dan sambal belacan.