Resepi Kuih Cik Mek Molek Rangup

Cik mek molek adalah kudapan popular di negeri Cik Siti Wan Kembang. Cik mek molek yang sedap ialah yang rangup kulit luarnya, lembut isi dalamnya dan cair inti gulanya. Kuih ini merupakan makanan yang agak ringan, sesuai dijadikan snek pada bila-bila masa ataupun untuk minum pagi / petang.


Resipi Kuih Cik Mek Molek

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 12 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat cek mek molek.

  • ½ kg ubi keledek oren
  • ½ cawan gandum
  • 1 sudu kecil garam
  • Gula pasir
  • Minyak masak untuk menggoreng

kuih cek mek molek Kelantan


Cara Membuat Cik Mek Molek

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan cik mek molek.

  1. Cuci dan potong ubi keledek. Rebus bersama garam di dalam periuk sehingga empuk. Kemudian angkat dan tuskan.
  2. Kupas dan lenyek ubi keledek semasa masih panas sehingga lumat.
  3. Kemudian masukkan gandum dan gaul sehingga menjadi doh yang tak melekat di tangan.
  4. Ambil sedikit doh bulatkan kepada saiz sebesar bola ping pong. Ulang sehingga habis doh.
  5. Ambil satu ketul doh yang dah dibulatkan, leperkan, buat lekukan di tengah-tengah menggunakan jari, letakkan satu sudu kecil gula untuk inti, tutup rapat dan bentukkan doh kepada bentuk cik mek.
  6. Goreng dalam minyak banyak (deep fry) dengan api sederhana sehingga warna keemasan.
  7. Angkat, tuskan dan tunggu sehingga kuih suam baru dihidang. Kalau hidang sejurus angkat takut melecur mulut sebab gula cair dalam kuih tu amatlah panas.

Semoga resepi cik mek molek ini bermanfaat buat para pembaca. Selain dari cik mek molek, donat dan sardin roll juga sesuai untuk dijadikan snek.