Resepi Sardin Roll/Gulung

Sardin gulung atau sardin roll adalah kuih yang digemari ramai. Sesuai dinikmati pada bila-bila masa, sebagai kudapan ataupun untuk minum pagi atau petang. Sardin gulung sedap dimakan panas-panas ketika ia masih rangup di luar dan lembut di dalam.


Resipi Sardin Gulung/Roll

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 12 biji

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sardin gulung.


Bahan-bahan inti sardin

  • 1 tin sardin dalam sos tomato saiz sederhana
  • 1 biji bawang besar - dipotong bulat nipis-nipis
  • 2 ulas bawang putih - dimayang
  • 2 sudu besar cili kisar
  • Garam dan gula secukup rasa


Bahan-bahan kulit/pastri

  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar marjerin
  • Sedikit garam
  • 1 cawan air sejuk dari peti sejuk
  • 1 biji telur - dipukul

sardin gulung roll


Cara Membuat Sardin Gulung

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan sardin roll.


Memasak inti sardin
  1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih dan bawang besar sehingga layu.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  3. Masukkan sardin berserta sos, hancurkan sardin dengan sudip. Tambah garam, gula secukup rasa dan kacau rata. Masak hingga kering.
  4. Masak sekejap kemudian angkat dan biarkan inti sejuk.

Membuat kulit pastri
  1. Gaulkan tepung gandum, marjerin dan garam dengan tangan sehingga sebati dan menjadi tekstur seakan serbuk roti.
  2. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang tidak melekat pada bekas adunan.
  3. Rehatkan doh selama 15 minit.
  4. Potong dan bulatkan doh ke bentuk bulat sebesar bola ping pong setiap satu.
  5. Ambil doh bulat dan canaikan hingga leper memanjang.
  6. Sudukan inti sardin, lipat doh sekadar menutupi inti, picit tepi doh untuk seal. Gulung ketat-ketat dan gamkan hujung pastri dengan sedikit sapuan telur.

Menggoreng
  1. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana.
  2. Goreng dan balik balikkan sardin roll sehingga warna keperangan sekata.
  3. Angkat, tuskan kemudian hidang.


Sardin Roll Frozen

Sardin gulung boleh disimpan frozen. Berikut adalah langkah-langkah menyejuk bekukan sarding gulung.

  1. Gorengkan sekejap, angkat ketika ia masih berwarna putih dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan ke dalam plastik kedap udara dan simpan dalam ruang freezer peti sejuk.
  3. Bila nak makan, ambil dari peti sejuk, nyah beku sekejap dan goreng.
Click to go to top