Resepi Ketupat Sotong Kelantan

Resepi ketupat sotong atau sotong sumbat Kelantan. Ketupat sotong ialah sotong yang disumbat dengan pulut. Ada dua versi yang sedikit berbeza, versi Kelantan dan Terengganu. Ketupat sotong Kelantan berwarna gelap dan rasa lemak manis (sweet), manakala versi Terengganu berwarna putih dan rasa lemak masin (savory).

Kali ini kami kongsikan resipi ketupat sotong versi Kelantan.


Resipi Ketupat Sotong Kelantan

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 25 minit ♦ Hidangan: 4-5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ketupat sotong. Kalau gunakan sotong bertelur, lagi sedap.

  • 1 kg sotong saiz sederhana (dalam 14 ekor)
  • 1 cawan beras pulut
  • 1 keping gula melaka / 'nisey
  • 6 sudu besar gula pasir
  • 2 cawan santan
  • 2 helai daun pandan
  • Garam secukup rasa
  • Pencungkil gigi atau lidi tajam


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan sotong: cabut kepala, buang perut, dakwat, mata dan giginya. Cabut buang juga tulangnya. Kalau ada telur biarkan, jangan keluarkan.
  • Cuci beras pulut dan rendam dalam ½ cawan santan dengan secubit garam selama 1/2 jam.

ketupat sotong Kelantan sedap

Ketupat sotong Kelantan ... lemak manis, sedap.


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak ketupat sotong.

  1. Isikan badan sotong dengan beras pulut sehingga separuh penuh. Kemudian tutup menggunakan kepala sotong dan sematkan dengan pencungkil gigi atau lidi supaya pulut tidak keluar bila masak.
  2. Susun sotong di dalam periuk, kemudian masukkan daun pandan, santan, gula, gula melaka yang dipecah-pecahkan dan secubit garam. Masukkan juga lebihan santan rendaman pulut.
  3. Tutup periuk dan rebus dengan api sederhana sehingga pulut masak / sotong kembung, dalam 20 minit. Jangan masak terlalu lama, nanti sotong liat.
  4. Angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Hidangkan ketupat sotong dengan sedikit kuahnya. Sesuai sebagai pencuci mulut, juadah berbuka puasa atau untuk minum petang.

Click to go to top