Resepi Kuih Sagu / Sagu Bronok Mudah

Kuih sagu bersalut kelapa parut atau sagu bronok sesuai dinikmati untuk sarapan pagi atau minum petang. Kuih sagu hendaklah lembut tapi masih mengekalkan tekstur butiran sagunya, dan manis sagu diimbangi dengan lemak masin salutan kelapanya.

Kuih sagu ni boleh dibuat sendiri dirumah. Cara memasaknya senang, cepat dan tidak perlu mengukus.


Resipi Kuih Sagu / Sagu Bronok

Masa persediaan: 5 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4-5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi kuih sagu kelapa.


⦿ Kuih sagu
  • 1 cawan sagu biji kecil (sagu mata ikan)
  • 2 cawan air
  • 6 sudu besar gula pasir
  • 1 sudu kecil pati sirap ros
  • 2 helai daun pandan

⦿ Salutan kelapa
  • 1 cawan kelapa muda parut
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Bilas biji sagu dengan air, kemudian tuskan.
  • Gaul kelapa parut dengan secubit garam.
  • Siat dan simpul daun pandan.

kuih sagu bronok sedap

Kuih sagu perisa ros dengan kelapa muda. Lembut, kenyal, manis, lemak, dan masin ... sedap.


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan kuih sagu atau bronok.

  1. Didihkan air bersama pati sirap ros dan daun pandan di dalam periuk. Kemudian keluarkan daun pandan.
  2. Masukkan sagu dan kacau sehingga sagu separuh masak (masih ada warna putih dalam biji sagu).
  3. Kemudian masukkan gula dan teruskan mengacau sehingga ia menjadi likat dan warna keseluruhan biji sagu jernih.
  4. Tuangkan sagu ke dalam loyang, ratakan dan biarkan sejuk.
  5. Bila sagu dah sejuk dan mengental, potong dan gaulkan dengan kelapa parut. Hidangkan.
Click to go to top