Spaghetti Marinara Dengan Lala

Spaghetti marinara dengan lala. (Sos marinara ialah sos/kuah berasaskan tomato yang sering dipadankan dengan pasta). Spaghetti berkuah tomato ini merupakan menu yang mesra kanak-kanak kerana tidak pedas.

Berikut dikongsikan resipi spaghetti marinara dengan lala.


Resipi Spaghetti Marinara Dengan Lala

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak spaghetti marinara dengan lala.

  • 1 paket 400 gm spaghetti (boleh diganti dengan pasta lain)
  • 1 tin kecil (320 gm) tomato puree
  • 1 kg lala
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji buah tomato segar
  • 1 sudu besar cili kisar / cili boh
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 2 helai daun bay (opsyenal)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar gula
  • 2 sudu besar garam (untuk merebus spaghetti)


Persediaan Bahan-bahan

  • Rendam lala dalam air garam selama 10 minit untuk mengeluarkan pasir. Kemudian bersihkan dan bilas.
  • Celur tomato sekejap untuk melonggarkan kulitnya. Kemudian kupas dan potong dadu.
  • Cencang bawang putih dan bawang besar.

spaghetti marinara lala sos tomato

Spaghetti marinara dengan lala, ditabur parutan keju.


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan spaghetti. Spaghetti dan sos marinara boleh dimasak serentak untuk jimatkan masa.

  1. Masak spaghetti sehingga al-dente, angkat dan tuskan. (Rujuk cara merebus spaghetti). Jangan buang air rebusan. Simpan dulu untuk diguna kemudian.
  2. Tumiskan bawang putih, bawang besar dan cili kisar dalam kuali besar dengan api sederhana hingga naik bau.
  3. Masukkan buah tomato yang telah dipotong dan tumis sehingga tomato hancur.
  4. Masukkan tomato puree, satu cawan air rebusan spaghetti, daun bay, lada hitam dan gula. Kacau dan reneh selama 5 minit.
  5. Masukkan lala dan masak sehingga ia terbuka, dalam lebihkurang 3 minit.
  6. Sebaik sahaja lala terbuka, masukkan spaghetti. Gaul rata dan biarkan mesra dalam 1 minit atau sehingga kuah mencapai kepekatan yang anda suka.
  7. Matikan api, angkat dan hidangkan.

Nota: Sos/kuah spaghetti ini tidak menggunakan garam secara terus. Masin datang dari air rebusan spaghetti.


Cadangan Hidangan

Taburkan lada hitam hancur atau parutan keju sebelum makan.

Click to go to top