Sayur Taugeh Goreng Campur Kobis, Carrot Dan Udang

Sayur taugeh goreng dengan kobis, carrot dan udang. Masakan ini menggunakan teknik kacau goreng atau stir fry. Ia mudah dan sangat cepat dimasak. Taugeh goreng ini hendaklah dimakan sejurus selepas dimasak, ketika ia masih rangup. Kalau dah sejuk sayur akan layu, tak sedap.

Berikut kami kongsikan resipi kacau goreng taugeh campur kobis, carrot dan udang.


Resipi Taugeh Goreng Campur Carrot, Kobis dan Udang

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk kacau goreng taugeh dengan carrot, kobis dan udang.

  • 300 gm taugeh
  • 100 gm kobis bulat
  • 100 gm (1/2 batang) lobak merah
  • 100 gm udang segar
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 cm halia
  • 1 biji cili hijau
  • 1 biji cili merah
  • 3 sudu besar minyak masak
  • Garam dan serbuk perisa


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan kemudian bilas taugeh. Tuskan.
  • Bersihkan udang.
  • Mayang bawang putih dan halia.
  • Kupas lobak merah, belah dua kemudian potong serong nipis-nipis.
  • Potong serong cili hijau dan cili merah.
  • Potong kasar kobis.

sayur taugeh kacau goreng stir fry campur kobis, carrot dan udang


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk mengacau goreng (stir fry) sayur taugeh, kobis, carrot dengan udang.

Pastikan bahan-bahan berada berdekatan kerana proses memasak ni sangat cepat. Sentiasa mengacau supaya bahan-bahan masak sekata dan tidak hangus.

  1. Panaskan kuali, kemudian masukkan minyak.
  2. Bila minyak mula berasap, masukkan bawang putih dan halia. Tumiskan sehingga bawang putih kekuningan.
  3. Kemudian masukkan udang.
  4. Bila udang bertukar warna kemerahan, masukkan carrot, kemudian kobis.
  5. Bila kobis layu masukkan taugeh, garam dan serbuk perisa,
  6. Teruskan mengacau goreng selama seminit dua, kemudian angkat dan hidangkan panas-panas.