Resepi Sup Tulang Simple

Resepi sup tulang lembu mudah. Selepas Hari Raya Haji, mesti adalah lebihan tulang lembu korban dalam freezer kan. Nak memasak tulang lembu ni menunya dia agak terhad. Biasanya hanya ada tiga pilihan - samada sup tulang, singgang tulang atau kari tulang.

Kali ini kami masak sup tulang. Prosesnya mudah, tapi memakan masa. Berikut adalah resipinya.


Resipi Sup Tulang Simple

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 60 minit ♦ Hidangan: 4 orang

Kalau guna periuk tekanan, masa memasak boleh dipendekkan kapada 30 minit sahaja.


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk sup tulang simple.

  • ½ kg tulang lembu (yang siap dipotong)
  • 2 biji ubi kentang
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 paket rempah sup tulang (mengandungi sup bunjut dan rempah kasar)
  • ½ sudu kecil lada hitam - opsyenal
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa

Bahan-bahan tabur/hiasan
  • 2 pokok daun sup
  • 5 biji cili padi
  • Bawang goreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan tulang lembu dan tuskan.
  • Mayang (hiris nipis) bawang putih dan bawang merah.
  • Ketuk halia dan lengkuas.
  • Kupas kentang kemudian belah empat.
  • Cencang daun sup, hiris cili api.

sup tulang simple dan power

Sup tulang simple ... tapi lembut dan sedap


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak sup tulang, simple tapi power.

  1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bawang putih, bawang merah, lada hitam dan rempah sup tulang sehingga bawang garing.
  2. Masukkan halia dan lengkuas dan kacau sekejap.
  3. Masukkan tulang dan kacau sehingga air tulang keluar dan kering.
  4. Kemudian masukkan air sehingga dua kali ganda paras tulang. Masak sehingga mendidih, kemudian perlahankan api, tutup periuk dan renehkan sehingga daging empuk (kira-kira satu jam). Kalau guna tulang saiz besar seperti gear box dan sewaktu dengannya, kena rebus lagi lama.
  5. Semasa mereneh tambah air jika perlu. Bila daging dah hampir empuk, masukkan garam, serbuk perasa lepas tu masukkan ubi kentang.
  6. Bila daging dan kentang empuk, matikan api dan angkat.


Cadangan Hidangan

Hidangkan sup panas-panas bersama taburan bawang goreng, hirisan daun sup dan cili api. Kalau ada sambal kicap lagi sedap.

Click to go to top