Resepi Ayam Masak Kurma

Resepi mudah kurma ayam / ayam masak kurma. Ayam masak kurma adalah menu lauk yang popular untuk kenduri. Kurma ayam rasanya kurang berempah/pedas berbanding kari ayam atau kerutuk ayam, jadi ia memang sesuai untuk kanak-kanak dan mereka yang tak suka masakan pedas.

Berikut kami kongsikan resipi mudah dan ringkas ayam masak kurma.


Resipi Ayam Masak Kurma

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 4-5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ayam masak kurma.

  • ½ ekor ayam
  • 1 paket kecil rempah kurma Adabi
  • 1 cawan santan
  • 2 cawan air (tambah jika mahu kuah lebih)
  • 2 biji ubi kentang
  • 1 biji tomato
  • 1 biji bawang besar
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan Tumis
  • 1 cm halia
  • 4 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 1 sudu besar minyak sapi atau mentega


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong ayam sederhana kecil dan bersihkan. Kemudian tuskan.
  • Kupas dan potong dadu ubi kentang.
  • Bancuh serbuk rempah kurma dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Kisar bahan tumis: bawang merah, bawang putih, bawang besar dan halia.
  • Belah empat bawang besar dan buah tomato.
  • Belah dua cili hijau.

ayam masak kurma sedap


Cara Memasak Kurma Ayam

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan gulai kurma ayam.

  1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk dengan api yang sederhana. Tumis bahan-bahan tumis sehingga garing dan naik bau.
  2. Kemudian masukkan pes kurma, kacau dan tumis sehingga pecah minyak.
  3. Selepas itu masukkan ayam dan gaulkan sehingga air ayam kering.
  4. Masukkan ubi kentang, air dan masak sehingga mendidih.
  5. Masukkan santan, bawang besar, tomato, cili hijau, garam dan gula secukup rasa.
  6. Kacau rata dan renehkan dengan api perlahan selama 5 - 10 minit.
  7. Padamkan api, angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Ayam masak kurma sedap dinikmati bersama nasi putih, nasi tomato, nasi beriyani atau nasi minyak. Kalau dimakan dengan roti putih atau canai pun sedap.

Click to go to top