Resepi Onde-Onde / Buah Melaka

Resepi kuih onde-onde atau buah melaka. Onde-onde atau buah Melaka dikenali juga dengan nama buah mulong. Kuih tradisional yang diperbuat daripada tepung beras pulut ini cukup popular di bulan Ramadan. Teksturnya sedikit kenyal dan bila digigit akan menghasilkan letusan cairan gula melaka di dalam mulut.

Berikut kami kongsikan resipi kuih onde-onde sukatan cawan.


Resipi Onde-onde atau Buah Melaka

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi kuih onde-onde.

  • 2 cawan tepung pulut
  • ½ sudu kecil garam
  • ½ sudu kecil air kapur
  • 1 cawan kelapa parut putih
  • 1 keping gula melaka
  • 2 helai daun pandan
  • ¾ cawan air


Persediaan Bahan-bahan

  • Kisar daun pandan bersama ¾ cawan air. Tapis dan ambil jusnya.
  • Racik gula melaka kecil-kecil.
  • Gaulkan kelapa parut dengan sedikit garam.

onde-onde buah melaka buah mulong sedap

Kuih onde-onde ... gabungan rasa kenyal tepung, lemak masin kelapa dan manis gula Melaka yang mencair dalam mulut.


Cara Membuat Kuih Onde-onde

Berikut adalah langkah-langkah memasak kuih onde-onde.

  1. Campurkan tepung pulut, separuh air pandan, air kapur dan garam di dalam mangkuk. Gaul rata. Tambah air pandan sedikit demi sedikit sambil menguli sehingga doh tidak melekat pada tangan dan mangkuk.
  2. Rebus air banyak di dalam periuk sehingga mendidih.
  3. Ambil sedikit doh (sebesar ibu jari), buat lekukan dengan jari, masukkan gula melaka, tutup doh dan gentel dengan tapak tangan sehingga berbentuk bulat. Ulangi sehingga habis doh.
  4. Masukkan kuih satu persatu ke dalam air yang menggelegak. Jangan masak terlalu banyak sekali gus, untuk mengelakkan kuih dari melekat antara satu sama lain.
  5. Bila onde-onde masak, ia akan timbul di permukaan air. Angkat dan golekkan di dalam kelapa parut.


Cadangan Hidangan

Hidangkan bila kuih sudak suam atau sejuk. Jangan makan onde-onde / buah melaka panas-panas kerana gula melaka cairnya sangat panas dan boleh melecurkan lidah dan lelangit.