Resepi Tart Nenas Gulung

Resipi tart nenas gulung. Tart nenas ialah diantara biskut/kuih raya yang popular dan digemari ramai. Walaupun tart nenas banyak dijual bila dekat nak raya, tapi kualiti dan tahap kepuasannya tak sama dengan tart nenas buatan sendiri.

Berikut dikongsikan resipi tart nenas gulung gebu dan cair dimulut, dengan sukatan cawan.


Resipi Tart Nenas Gulung

Masa persediaan: 40 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 75 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat tart nenas gulung.


Bahan-bahan Untuk Pastri
  • 2½ cawan tepung gandum
  • ¼ cawan tepung jagung
  • 3 sudu besar tepung kastad
  • 1 buku (250gm) mentega (butter)
  • 2 sudu besar minyak sapi
  • 2 sudu besar gula kastor
  • 1 biji kuning telur
  • ¼ sudu kecil garam

Bahan-bahan Inti Tat Nenas
  • 1 kg isi nenas (anggaran 2 biji nenas saiz besar)
  • 1½ cawan gula pasir
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 titik pewarna kuning

Bahan-bahan Untuk Sapuan
  • 1 biji telur
  • 1 sudu kecil air
  • 1 titis pewarna kuning


Persediaan Bahan-bahan

  • Kupas nenas, buang mata, kemudian belah empat memanjang. Pegang pada empulur, parut dan berhenti bila sampai empulur. Asingkan empulur dan tuskan parutan nenas.
  • Keluarkan mentega dari peti sejuk dan biarkan pada suhu bilik.
  • Ayak tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastard dan ketepikan.

tart nenas gulung sedap

Tat nenas paling sedap dinikmati di hari raya


Cara Membuat Tart Nenas Gulung

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan tat nenas gulung.

  1. Sediakan inti jem nenas
    1. Masak nenas yang telah diparut bersama gula dengan api perlahan.
    2. Apabila hampir kering, masukkan kulit kayu manis dan pewarna kuning.
    3. Masak inti sehingga jernih dan kental seperti jem. Ini mengambil masa kira-kira 1.5 jam. Bila masak, biarkan sejuk.
    4. Kemudian ambil ½ sudu kecil (lebihkurang 6 gram) inti dan gentel membujur. Ulangi sehingga habis inti.
  2. Sediakan sapuan telur: Pecahkan sebiji telur ke dalam mangkuk, tembah setitis pewarna kuning kemudian kacau sebati.
  3. Pukul butter bersama gula sehingga ringan.
  4. Masukkan kuning telur, minyak sapi dan garam. Kacau sebati.
  5. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit dan gaulkan hingga menjadi doh.
  6. Rehatkan doh selama kira-kira 30 minit. Sementara itu panaskan oven kepada 170°C.
  7. Ambil sedikit doh, masukkan ke dalam acuan tat dan tekan. Letakkan inti dan gulung.
  8. Susun di atas loyang yand dilapik dengan baking paper. Ulangi sehingga habis doh.
  9. Sapukan kuning telur ke atas setiap tart, kemudian bakar pada suhu 170°C selama 20-25 minit atau sehingga sapuan berwarna perang keemasan.
  10. Keluarkan dari oven dan sejukkan sebelum dimasukkan ke dalam bekas.


Tip

  • Gunakan mentega berkualiti tinggi untuk mendapatkan rasa butter pada pastri.
  • Pastikan tart betul-betul sejuk sebelum disimpan di dalam bekas untuk mengelakkan ia dari berkulat.