Resepi Gulai Ikan Tongkol

Resipi gulai ikan tongkol / aya Kelantan. Gulai ikan tongkol atau ikan aya adalah antara menu yang popular di Kelantan. Ia merupakan lauk utama nasi berlauk, yang merupakan menu sarapan pagi popular masyarakat Kelantan. Gulai ikan tongkol juga sedap dihidangkan dengan nasi dagang.

Berbeza dengan kari ikan tongkol, gulai darat ikan tongkol tidak perlu menumis. Berikut kami kongsikan resipi gulai ikan tongkol ala Kelantan untuk para pembaca.


Resepi Gulai Ikan Tongkol / Aya

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 4 - 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi gulai ikan tongkol.

  • 1 ekor ikan tongkol hitam saiz sederhana
  • 2 cawan santan
  • 5 biji bawang merah
  • 7 biji cili kering
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 cm lengkuas
  • 5 keping asam gelugor
  • 2 biji cili hijau
  • Garam dan gula secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  1. Potong ikan, bersihkan, kemudian tuskan. Lagi senang kalau kasi potong siap-siap semasa dibeli.
  2. Potong cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas hingga kembang. Kemudian kisar cili kering bersama bawang merah, kunyit dan lengkuas.
  3. Potong dua cili hijau.

gulai ikan tongkol aye

Gulai ikan tongkol merupakan lauk "wajib" bagi nasi berlauk Kelantan dan juga nasi dagang


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak gulai kuning ikan tongkol.

  1. Rebus kepingan ikan bersama air, garam dan asam keping dengan api sederhana sehingga air rebusan hampir kering. Seelok-eloknya rebus ikan lebih awal supaya rasa masam dan masin meresap ke dalam dalam isi ikan.
  2. Di dalam periuk lain, masukkan santan, bahan kisar, 2 keping asam gelugor (dari rebusan) dan air jika perlu. Masukkan sedikit air rebusan ikan (kalau banyak takut kuah masin/masam/hanyir).
  3. Masak dengan api kecil sehingga mendidih. Sentiasa kacau untuk mengelakkan santan berketul dan pecah minyak.
  4. Masukkan ikan yang telah direbus dan cili hijau . Renehkan seketika hingga ikan dan kuah mesra.
  5. Perasakan dengan gula dan garam secukup rasa.
  6. Padamkan api dan angkat.
Click to go to top