Resepi Gulai Siput Daun Kaduk

Gulai lemak siput daun kaduk. Gulai lemak kuning siput merupakan masakan kampung. Siput datang dari sawah, daun kaduk dari belakang rumah. Gabungan manis siput, lemak santan kelapa dan wangi daun kaduk cukup membangkit selera. Masakan ini sangat sedap dihidangkan untuk makan tengahari, digandingkan dengan ikan bakar tawar, budu dan ulam-ulaman.

Berikut kami kongsikan resipi gulai siput Kelantan.


Resipi Gulai Siput Kelantan

Masa persediaan: 25 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 6 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat gulai siput sawah/sedut.

  • 1 kg siput
  • 1 cawan santan segar pekat
  • 1 cawan air
  • ½ inci lengkuas
  • 1½ inci kunyit hidup
  • 1 sudu besar cili kisar
  • 8 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • 1 biji cili hijau
  • Secekak pucuk kaduk (atau daun kesum)
  • 2 keping asam gelugor
  • Garam dan gula secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  1. Bersihkan luaran siput dengan meramasnya dengan daun pisang atau daun serai. Kemudian bilas. Siang siput dengan memotong hujung cengkerangnya, supaya senang nak sedut nanti. Kemudian rendam dalam air dalam 5 minit sehingga ia terbuka dan mengeluarkan kotoran dan lumpur. Bilas lagi untuk hilangkan kotoran dan serpihan cengkerang.
  2. Tumbuk atau kisar bawang merah, bawang putih, lengkuas dan kunyit hidup.

gulai siput kelantan original

Gulai siput sawah ... makan eksotik yang sangat sedap, tapi susah nak jumpa sekarang


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat gulai siput.

  1. Masukkan santan, air, bahan tumbuk dan asam keping ke dalam periuk.
  2. Masak dengan api sederhana sambil mengacau untuk mengelakkan santan membuak, berketul dan pecah minyak.
  3. Bila mendidih, masukkan siput, daun kaduk dan cili hijau.
  4. Kacau sehingga mendidih sekali lagi. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Tutup api, angkat dan hidangkan.
Click to go to top