Resepi Kari Tulang Rusuk

Resepi kari tulang lembu. Kari tulang adalah kuah pencicah roti canai yang popular di Kelantan. Di restoran roti canai, tulang gearbox dimasak dalam periuk besar untuk pelanggan.

Di rumah, leceh nak masak tulang gearbox sebab perlu guna periuk besar. Jadi pilihan terbaik ialah menggunakan tulang rusuk (rib). Tak susahpun memasak kari tulang ni. Ia sama seperti memasak kari daging, cuma memakan masa yang lebih lama.

Berikut kami kongsikan resipi tulang rusuk lembu masak kari yang sedap.


Resepi Kari Tulang Rusuk

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 50 minit ♦ Hidangan: 6 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi tulang masak kari.

  • 1 kg tulang lembu (rusuk)
  • 2 sudu besar atau 1 paket kecil rempah kari daging
  • 1 cawan santan pekat segar
  • 4 cawan air (tambah atau kurangkan ikut suka)
  • ½ inci lengkuas
  • 2 biji ubi kentang - opsyenal
  • Gula pasir / gula melaka dan garam secukup rasa
  • Air asam jawa

Bahan Tumis
  • 1 tangkai daun kari - dilurut
  • 5 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • 2 sudu besar cili kisar/boh
  • 2 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Cuci tulang, buang lemak yang berlebihan. Kemudian tuskan.
  • Kupas dan potong dadu ubi kentang.
  • Ketuk lengkuas.
  • Bancuh serbuk rempah kari dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Kisar bawang merah, bawang putih dan halia.

kari tulang lembu kelantan sedap

Tulang rusuk masak kari sedap dicicah roti canai


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak kari tulang lembu.

  1. Masukkan tulang ke dalam periuk, tambah air dan lengkuas. Tutup periuk, kemudian rebus sehingga daging  pada tulang empuk. Kalau menggunakan periuk tekanan (Noxxa, Philips), rebus dengan tekanan tinggi selama 15 minit *. Kemudian ketepikan.
  2. Panaskan minyak masak di dalam periuk lain dengan api sederhana. Tumis bahan kisar dan daun kari sehingga garing dan naik bau.
  3. Masukkan cili kisar dan tumis hingga pecah minyak. Tambah pes rempah kari, dan tumis hingga pecah minyak juga.
  4. Masukkan tulang, gaul sebati dan biarkan seketika (5-10 minit) supaya tulang mesra dengan rempah.
  5. Masukkan air rebusan yang telah ditapis (untuk membuang buih kotoran dan serpihan tulang), kentang, santan dan air asam jawa.
  6. Masak sambil mengacau sehingga kentang empuk dan kuah pecah minyak.
  7. Perasakan dengan gula dan garam, kemudian padamkan api, angkat dan dihidang.

* 15 minit adalah masa memasak high pressure untuk tulang rusuk. Kalau guna tulang gearbox, set pada 20 minit.

Click to go to top