Resepi Makaroni Aglio Olio Mudah

Makaroni aglio olio bermaksud makaroni dengan bawang putih dan minyak. Menu ini paling simple tapi tak kurang sedapnya. Ia cukup mudah dan cepat dimasak, menyihatkan, tidak pedas dan mesra kanak-kanak.

Berikut dikongsikan resipi makaroni aglio olio.


Resepi Makaroni Aglio Olio

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak makaroni aglio olio. Sebenarnya bahan-bahan utamanya hanyalah makaroni, bawang putih dan minyak zaitun. Yang lain-lain tu sampingan sahaja, kalau tak nak masuk pun takpe.

  • ½ paket makaroni (250gm)
  • 5 ulas bawang putih
  • 4 sudu besar minyak zaitun
  • ½ sudu kecil lada hitam - optional
  • 1 tin tuna / 150gm ayam, daging atau udang - optional
  • 1 biji lada benggala (capsicum) - optional
  • 1 sudu kecil serbuk cili kasar (chilli flakes) - optional
  • Garam


Persediaan Bahan-bahan

  • Cencang bawang putih.
  • Ceraikan isi ikan tuna dengan garpu

makaroni aglio olio simple sedap

Makaroni aglio olio merupakan makaroni goreng versi paling ringkas


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan makaroni aglio olio. Makaroni dan sos boleh dimasak serentak untuk jimatkan masa.

  1. Masak makaroni sehingga al-dente, angkat dan tuskan. (Rujuk cara merebus pasta). Jangan buang air rebusan. Simpan dulu untuk diguna kemudian.
  2. Masukkan 3 sudu besar minyak zaitun ke dalam kuali dan tumiskan bawang putih dengan api sederhana sehingga kekuningan.
  3. Kemudian masukkan makaroni, sepertiga cawan air rebusan makaroni, lada hitam, ikan tuna dan lada benggala. Kuatkan api dan kacau sehingga sos menyalut makaroni sepenuhnya.
  4. Perasakan dengan garam (jika perlu sahaja, sebab air rebusan memang dah masin).
  5. Matikan api, masukkan baki (1 sudu besar) minyak zaitun dan lada hitam. Gaul sebati.
  6. Kemudian angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Taburkan chilli flakes dan parutan keju sebelum makan.