Udang Goreng Butter (Butter Prawn)

Udang goreng mentega (butter prawn) adalah masakan yang menyerlahkan keenakan dan kemanisan udang. Kombinasi rasa manis udang segar, lemak masin mentega dan pedas cili padi cukup membangkit selera.

Berikut kami kongsikan resipi udang goreng butter/mentega.


Resepi Udang Goreng Butter

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi udang butter.

  • ½ kg udang sederhana kecil
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 5 sudu besar mentega
  • 4 biji telur
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 tangkai daun kari
  • 5 biji cili padi
  • 4 sudu besar susu cair
  • ½ sudu kecil lada sulah
  • 1 cawan minyak masak
  • Garam dan gula secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan udang - belah belakang udang, tarik keluar urat hitam perlahan-lahan supaya tidak putus, bilas dan kemudian tuskan. Selepas itu gaulkan udang dengan tepung jagung dan garam.
  • Pecahkan telur dan ambil kuningnya sahaja. Masukkan ke dalam mangkuk kecil atau cawan. Pukul sedikit.
  • Cencang bawang putih dan cili padi. Lurut daun kari.

udang goreng butter mentega


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan udang butter.

  1. Panaskan minyak dalam kuali sehingga betul-betul panas. Goreng udang, dan sebaik sahaja udang bertukar ke warna pink dan ekornya kemerahan, matikan api, angkat dan tuskan. Jangan masak udang terlalu lama, nanti isinya akan menjadi liat.
  2. Untuk membuat sarang telur (egg floss), mulakan dengan memasukkan 3 sudu besar mentega ke dalam minyak bekas menggoreng udang tadi, panaskan dengan api sederhana dan tunggu sehingga ia cair sepenuhnya dan betul-betul panas.
  3. Pegang mangkuk berisi telur kuning di tangan kiri pada jarak kira-kira 2 kaki di atas kuali. Pegang senduk di tangan kanan.
  4. Kacau sehala mentega cair dalam kuali menggunakan belakang senduk supaya mentega bergerak dalam bulatan. Pada masa yang sama tuang kuning telur sedikit-sedikit secara berterusan. Berhenti mengacau bila kuning telur habis.
  5. Bila sarang telur berwarna keemasan, angkat dan tuskan.
  6. Di dalam kuali berasingan, panaskan satu sudu minyak bersama dua sudu besar mentega dengan api kecil.
  7. Tumis daun kari, bawang putih sehingga garing. Kemudian masukkan cili padi.
  8. Masukkan susu cair, masak seketika. Kemudian masukkan udang yang telah digoreng dan lada sulah. Gaul rata supaya semua udang disaluti sos butter. Perasakan dengan garam dan gula.
  9. Kacau sehingga kuah kering, kemudian angkat. (Jika anda mahukan udang butter berkuah atau basah, tambah susu cair dan angkat sebelum kuah kering).
  10. Taburkan sarang telur di atas udang, atau gaulkan, kemudian hidangkan.

Selamat mencuba resepi butter prawn /udang goreng mentega.

Click to go to top