Resepi Kuih Ketayap Sukatan Cawan

Resipi kuih ketayap. Kuih ketayap atau kuih dadar ini juga dikenali dengan nama kuih batang buruk di Kelantan. Teksturnya lembut, dan rasanya sedap lemak manis kerana ia diperbuat dari santan dan kelapa parut. Ianya tidak berminyak, dan boleh dimakan hari-hari tanpa jemu.

Berikut kami kongsikan cara buat kuih ketayap lembut.


Resepi Kuih Ketayap

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 12 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi kuih ketayap sukatan cawan.


Bahan-bahan Inti
  • ½ biji kelapa parut - ambil putihnya sahaja
  • 1 cawan gula merah
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 2 helai daun pandan
  • ½ cawan air
  • ½ sudu kecil garam

Bahan-bahan Kulit
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 1 helai daun pandan
  • 1 cawan santan
  • 2 sudu besar minyak masak
  • ½ sudu kecil garam
  • 2-3 titis pewarna hijau


Persediaan Bahan-bahan

  • Kisar daun pandan yang telah dipotong pendek-pendek dengan santan. Kemudian tapis.
  • Masukkan semua bahan untuk kulit ketayap - tepung gandum, telur, santan+pandan, air, minyak, garam dan pewarna hijau di dalam blender dan kisar hingga adunan sebati, licin dan tiada ketulan. Bancuhan hendaklah sedikit cair - ia hendaklah mengalir dalam satu aliran yang tidak putus (tidak menitis) bila dituang sedikit.

kuih ketayap

Kuih cara berlauk ... lemak masin, dan ada lauk di dalamnya


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara memasak kuih ketayap.


Cara Memasak Inti

  1. Didihkan air dalam kuali.
  2. Masukkan gula merah, garam dan simpulan daun pandan. Masak dengan api kecil hingga gula larut sepenuhnya.
  3. Masukkan kelapa parut dan dan gandum. Kacau rata.
  4. Bila inti dah sedikit kering, angkat dan biarkan sejuk.


Cara Memasak Kulit / Dadar

  1. Panaskan kuali di atas dapur dengan api kecil. Kalau guna kuali non-stick lagi bagus.
  2. Sapukan minyak pada kuali menggunakan paper towel atau tisu.
  3. Masukkan satu senduk adunan ke dalam kuali dan lenggangkan kuali supaya adunan melebar, nipis sekata dan bulat.
  4. Angkat bila ia bertukar ke warna hijau sepenuhnya (selepas 2-3 minit). Tidak perlu balikkan, memadai masak sebelah sahaja.
  5. Ulang langkah 2-4 hingga habis adunan.


Cara Mengisi dan Menggulung

  1. Setelah semua masak, ambil sekeping kulit ketayap, letakkan satu sudu besar inti di atasnya dan ratakan. Lipat kiri dan kanan kulit, kemudian gulung kemas.
  2. Bila selesai intikan semua kulit, bolehlah dihidangkan.

Selamat mencuba resepi kuih ketayap lembut dan sedap ini.

Click to go to top