Resepi Mee Kuah Kelantan

Resepi mee kuah Kelantan. Mee kuah Kelantan ni resepinya hampir sama dengan mee rebus Terengganu. Kuahnya cair seakan mee sup, bukan pekat seperti mee rebus Johor. Perisa asas kuahnya boleh menggunakan ayam, daging, sotong atau udang. Kali ini kami memilih untuk menggunakan daging sebagai bahan untuk perisa kuahnya.

Berikut kami kongsikan cara membuat mee kuah Kelantan special. Selamat mencuba.


Resipi Mee Kuah Kelantan

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 2 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi mee kuah.

  • 1/2 paket mee kuning (200 gm)
  • 100 gm daging lembu
  • 2 biji telur ayam
  • 2 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah
  • 1 sudu besar sos tomato
  • 2 kelopak kubis
  • 1 pokok sayur sawi
  • 1 biji buah tomato 
  • 1 biji cili merah (gantikan dengan cili padi kalau nak pedas)
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 1/2 sudu kecil cuka
  • 2 sudu kecil lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa
  • 4 cawan air

Bahan-bahan hiasan
  • 2 hiris limau nipis
  • 1 pokok daun sup
  • Bawang goreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Hiris daging nipis-nipis.
  • Bersihkan dan potong sayur. Potong kobis. Belah empat tomato. Potong sawi, asingkan daun dan batang sawi.
  • Cuci mee kuning, celurkan sekejap supaya ia lembut. Tuskan, kemudian bahagikan ke dalam 2 mangkuk hidangan.

mee kuah daging kelantan

Mee kuah istimewa ... ada mee di sebalik daging dan sayur


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak mee kuah.

  1. Rebus daging dengan air, garam dan serbuk perasa. Apabila empuk, angkat dan ketepikan.
  2. Panaskan minyak dalam kuali dan tumiskan bawang putih hingga kuning. Kemudian masukkan pula bawang merah.
  3. Apabila naik bau, masukkan daging yang direbus tadi berserta air rebusannya. Masukkan cuka dan biarkan mendidih.
  4. Kecilkan api dan pecahkan telur satu persatu, jangan kacau dan masak perlahan hingga telur timbul.
  5. Masukkan sayur kobis, batang sawi, sos tomato dan serbuk lada sulah. Setelah mendidih barulah dimasukkan daun sawi, buah tomato dan cili merah.
  6. Angkat dan tuangkan kuah, sayuran dan sebiji telur ke dalam setiap mangkuk berisi mee.


Cadangan Hidangan

Hidangkan panas-panas dengan hirisan limau nipis, daun sup dan bawang goreng. Perah limau bila hendak makan. Lagi sedap kalau ada cili jeruk.

Click to go to top