Resepi Kuih Bingka Gula Melaka

Resepi bingka tepung beras gula melaka. Kuih bingka atau bengkang ialah kuih tradisi Melayu yang sangat sedap dinikmati untuk sarapan pagi atau minum petang. Terdapat berbagai variasi bingka seperti bingka ubi kayu, bingka tepung gandum, bingka tepung beras, bingka labu dan sebagainya. Bingka yang sedap rasanya lemak manis, garing di luar dan lembut di dalam.

Berikut kami kongsikan cara membuat bingka tepung beras gula melaka sukatan cawan. Resepi ini tidak menggunakan telur.


Resipi Kuih Bingka Gula Melaka

Masa persediaan: 25 minit ♦ Masa memasak: 45 minit ♦ Hidangan: 24 potong


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bingka gula melaka.

  • 2 cawan tepung beras
  • 2 kotak kecil santan (2 x 200ml)
  • 4 cawan air
  • 150 gm gula melaka (3 keping)
  • ½ cawan gula pasir
  • ½ sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • 2 helai daun pandan


Persediaan Bahan-bahan

  • Griskan loyang bersaiz 8x8 inci dengan minyak masak.

  • Carik-carikkan daun pandan, kemudian simpul.

bingka tepung beras gula melaka


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan bingka tepung beras gula melaka.

  1. Panaskan oven kepada suhu 160°C.
  2. Panaskan serta kacau gula melaka, gula pasir, air dan daun pandan sehingga gula cair sepenuhnya. Tapis dan biarkan sejuk.

  3. Bancuhkan tepung beras, santan, garam, air gula tadi sehingga sebati.
  4. Masukkan ke dalam periuk dan masak di atas api sederhana sambil mengacau sampai likat, licin dan tak berketul.
  5. Kemudian tuangkan ke dalam loyang dan ratakan.
  6. Masukkan adunan ke dalam oven dan bakar selama 40-45 minit atau sehingga bingka masak. Untuk menguji bingka samada dah masak atau belum, cucukkan lidi ditengah adunan. Kuih yang dah masak tak melekat pada lidi bila lidi ditarik keluar.
  7. Biarkan bingka sejuk dan mengeras dahulu sebelum memotong kepada potongan-potongan berukuran 1x2 inci.
Click to go to top