Kuih Kaswi / Lompang Pandan Sukatan Cawan

Kuih kaswi merupakan antara kuih kukus tradisional yang masih digemari hingga kini. Kuihnya lembut, kenyal, wangi dan bentuknya comel. Kuih kaswi juga dikenali sebagai kuih kosui, atau kuih lompang. Di Kelantan ia dikenali dengan nama kuih kosu.

Kuih kaswi sesuai di makan pada bila-bila masa samada di waktu pagi, makan petang, malam ataupun dijadikan sebagai pencuci mulut. Terdapat dua jenis kuih kaswi, iaitu kaswi pandan yang berwarna hijau dan kaswi gula melaka yang berwarna coklat.

Berikut kami kongsikan cara membuat kuih kaswi pandan sukatan cawan.


Resepi Kuih Kaswi Pandan

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 24 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih kaswi pandan.


Bahan-bahan Untuk Adunan Kuih
  • 1½ cawan tepung beras
  • ¼ cawan tepung ubi
  • 1 cawan gula pasir
  • 1 sudu kecil air kapur makan
  • 4 helai daun pandan
  • 2½ cawan air

Bahan-bahan Untuk Kelapa
  • ½ biji kelapa muda parut
  • ¼ sudu kecil garam


Persediaan Bahan-bahan

  1. Potong kecil daun pandan. Kisar bersama 2 cawan air. Tapis untuk dapatkan jus pandan. Masukkan air kapur, kacau dan ketepikan.
  2. Gaulkan kelapa parut dengan garam.

kuih lompang kaswi kosui


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat kuih kaswi.

  1. Panaskan pengukus dan kukus acuan kosong.
  2. Sementara itu, masukkan campuran tepung, gula pasir dan air pandan ke dalam blender dan kisar sehingga adunan licin dan tidak berketul.
  3. Tuangkan adunan ke dalam acuan sehingga tiga suku penuh.
  4. Kukus selama 25-30 minit atau sehingga adunan masak. Balut penutup pengukus dengan kain supaya air kukusan tidak menitis ke dalam adunan semasa mengukus.
  5. Keluarkan dari pengukus dan biarkan kuih sejuk.
  6. Kukus kelapa parut yang telah digaul garam sekejap (dalam 3-4 minit) supaya tak cepat basi.
  7. Bila kuih dah betul-betul sejuk, keluarkan ia dari acuan.
  8. Hidangkan kuih bersama kelapa parut.