Resepi Pulut Sekaya / Seri Kaya

Resipi kuih Pulut Seri Kaya. Kuih tradisi ini popular di Pantai Timur. Pulut Seri Kaya juga dikenali dengan nama Pulut Sekaya di Kelantan dan kuih Tok Aji Serban di Terengganu. Kuih ini mirip kuih seri muka, cuma bezanya lapisan atasnya berwarna coklat dan diperbuat dari telur dan gula melaka. Rasanya lemak, manis, memang sedap. Sangat sesuai untuk hidangan minum petang atau untuk jamuan.

Berikut kami kongsikan resipi pulut sekaya sukatan cawan untuk anda cuba sendiri di rumah.


Resepi Kuih Seri Kaya

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 45 minit ♦ Hidangan: 24 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi pulut sekaya.


Lapisan Atas
  • 5 biji telur ayam
  • 1 kotak santan
  • 2 keping gula melaka
  • 2 helai daun pandan
  • ¼ sudu kecil garam

Lapisan Bawah (Pulut)
  • 1½ cawan beras pulut
  • ½ kotak santan
  • ½ cawan air
  • 1 sudu kecil garam


Persediaan Bahan-bahan

  • Basuh beras pulut sehingga bersih. Rendam selama 2 jam, kemudian tuskan.
  • Potong daun pandan pendek-pendek.
  • Sediakan loyang bersaiz 7x7 inci, sapukan minyak pada permukaan dalam loyang supaya kuih tidak melekat pada loyang.

kuih seri kaya

Kuih seri kaya sedap, lemak, manis, wangi dan cantik ... sesuai untuk pelbagai acara


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah memasak kuih seri kaya.

  1. Satukan bahan-bahan lapisan bawah (beras pulut yang telah direndam, air, santan dan garam) di dalam loyang. Kukus dengan api besar sehingga pulut masak (20 minit).
  2. Sementara pulut sedang dikukus, sediakan lapisan atas: Satukan santan, daun pandan, garam dan gula melaka di dalam blender dan kisar hingga sebati. Kemudian tambah telur dan kisar lagi hingga telur kembang. Kemudian tapiskan adunan.
  3. Bila pulut masak, keluarkannya dari pengukus. Terus tekan-tekankan pulut yang panas dengan sudip supaya padat. Pastikan tiada lubang.
  4. Ketika lapisan pulut masih panas, tuangkan adunan kastad telur ke atas pulut.
  5. Kukus kuih dengan api sederhana sehingga lapisan atas masak (kira-kira 25-30 minit).
  6. Setelah masak, keluarkan kuih dari pengukus dan biarkan ia sejuk.
  7. Bila dah sejuk, potong menggunakan pisau yang disapu minyak masak atau gunakan pisau plastik supaya kuih tak melekat pada pisau.


Tip

  • Lapisan pulut mestilah panas semasa menuangkan adunan lapisan atas, supaya ia melekat pada pulut setelah masak.
  • Untuk mengelakkan wap air dari menitik ke atas kuih, balut penutup pengukus dengan tuala.