Nasi Goreng Biasa Yang Mudah Dan Sedap

Cara membuat nasi goreng biasa yang sangat mudah. Lebihan nasi semalam paling sesuai dibuat nasi goreng. Kalau cukup bahannya bolehlah dibuat nasi goreng udang atau nasi goreng kampung. Tapi kalau dapur dah ketandusan bahan dek kerana hujung bulan, maka bolehlah dicuba nasi goreng biasa ni - simple, murah dan mudah.

Berikut kami kongsikan cara membuat nasi goreng biasa yang sangat mudah.


Resipi Nasi Goreng Biasa

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak nasi goreng.

  • 3 mangkuk nasi sejuk
  • 2 sudu besar udang kering – optional
  • 4 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 5 biji cili padi
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 pokok sawi
  • ½ batang lobak merah (karot)
  • 1 kiub ayam Maggi
  • Garam secukup rasa
  • 3 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Leraikan nasi supaya tidak berketul.
  • Cencang bawang putih dan bawang merah.
  • Potong kiub kecil lobak merah. Hiris nipis cili padi. Potong sawi, asingkan daun dan batang.

nasi goreng mudah

Nasi goreng super simple ... mudah dan sedap


Cara Memasak Nasi Goreng

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan nasi goreng mudah.

Pastikan bahan-bahan telah tersedia dan senang dicapai kerana proses menggoreng nasi ni sangat cepat. Sentiasa kacau supaya bahan-bahan masak sekata dan tidak hangus.

  1. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana besar. Tumis bawang putih dan bawang merah hingga kekuningan.
  2. Kemudian masukkan cili padi, karot dan udang kering
  3. Masukkan batang sawi, sos tiram dan garam. Hancurkan kiub ayam dan masukkan sekali. Kacau sekejap (dalam 1 minit).
  4. Masukkan nasi dan daun sawi. Gaul sehingga nasi sebati dengan tumisan.
  5. Kacau-goreng 3-4 minit sehingga keseluruhan nasi masak sekata.
  6. Angkat dan hidangkan panas-panas. Kalau ada telur bolehlah dihidangkan dengan telur mata.