Resepi Ayam Goreng Sos Tiram

Resipi ayam goreng sos tiram sedap. Ayam goreng sos tiram merupakan menu yang ringkas dan mudah, sesuai untuk mereka yang kesuntukan masa.

Masakan ini walaupun nampak simple, hasilnya gerenti mendapat sambutan. Rasanya yang sedikit manis, pasti disukai seisi keluarga, terutama anak-anak. Ayam sos tiram ni lagi sedap kalau digandingkan dengan nasi panas, tomyam, sambal belacan dan ulam timun.

Berikut kami kongsikan cara membuat ayam goreng sos tiram simple tapi sedap. Untuk yang suka masakan yang lebih spicy, bolehlah cuba ayam masak paprik.


Resepi Ayam Goreng Sos Tiram

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ayam goreng sos tiram.

  • ½ ekor ayam
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 3 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar sos cili
  • 1 biji bawang besar
  • 1 biji cili merah – optional
  • Garam secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Buang kulit ayam, potong kecil-kecil, bersihkan dan tuskan. Gaulkan ayam dengan sedikit garam dan serbuk kunyit. Ketepikan.
  • Hiris bulat bawang besar. Potong serong cili merah.

ayam goreng sos tiram

Ayam goreng sos tiram ... ringkas tapi enak dan menyelerakan


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara memasak ayam goreng sos tiram.

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ayam sehingga garing.
  2. Cedok keluar minyak gorengan. Tinggalkan sedikit sahaja, cukup sekadar untuk menumis.
  3. Masukkan bawang besar dan cili merah. Gaul rata.
  4. Bila bawang dah nak layu, masukkan sos tiram dan sos cili. Tambah garam jika perlu.
  5. Kacau rata sehingga ayam bersalut sos sepenuhnya dan mesra rasa.
  6. Padamkan api dan angkat.
  7. Hidangkan panas-panas.

Semoga resepi ayam goreng sos tiram ini dapat membantu mempelbagaikan lagi menu masakan harian anda.