Cara Mudah Membuat Telur Masin

Telur masin homemade / buatan sendiri. Telur masin / telur asin / telur jeruk merupakan salah satu kaedah untuk mengawet telur. Anda boleh membuat sendiri telur masin di rumah. Prosesnya amatlah mudah dan kosnya murah.

Telur masin homemade terjamin  kebersihannya dan lebih sedap kerana tahap kemasinannya boleh dikawal mengikut citarasa anda.

Berikut kami kongsikan cara atau petua membuat sendiri telur masin.


Cara Membuat Telur Masin

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 5 minit ♦ Hidangan: 8 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat telur masin.

  • 8 biji telur itik (boleh juga guna telur ayam)
  • 8 sudu besar (½ cawan) garam
  • 3 cawan air
  • Balang kuih untuk merendam telur

telur masin

Telur itik siap direndam dan sedia untuk disimpan


Cara Membuat Telur Masin

Berikut adalah langkah-langkah untuk memproses telur masin homemade.

  1. Basuh telur itik bersih-bersih, kemudian tuskan sehingga kering.
  2. Masak air bersama garam sehingga garam larut sepenuhnya. Biarkan air garam sejuk.
  3. Atur telur di dalam balang. Tuang air garam yang telah sejuk ke dalam balang sehingga semua telur tenggelam.
  4. Simpan balang pada suhu bilik dan di tempat gelap. Telur masin akan matang selepas 2 minggu.
  5. Selepas 2 minggu, keluarkan dan masak sebiji telur untuk menguji tahap kemasinannya. Jika dah cukup masin, tukar air garam dengan air masak dan simpan dalam peti sejuk. Teruskan rendaman sekiranya telur belum cukup masin.


Cadangan Hidangan

Telur masin biasanya direbus dan dimakan dengan nasi kerabu atau bubur nasi. Boleh juga digunakan untuk nasi goreng atau ketam telur masin.

Click to go to top