Resepi Mee Goreng Mamak

Cara membuat mee goreng mamak sedap dan power. Mee goreng mamak merupakan street food yang boleh didapati sepanjang hari, baik untuk sarapan pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam atau pun lewat malam. Di kedai mamak biasanya mi ini memakan masa tak sampai 5 minit untuk dimasak kerana semua bahan dan perencah sudah dimasak/disediakan terlebih dahulu.

Untuk yang ragu-ragu tahap kebersihan kedai mamak, berikut kami kongsikan cara membuat mee goreng mamak versi buat sendiri di rumah.


Resipi Mee Goreng Mamak

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 2-3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak mee goreng mamak.

  • ½ bungkus 400gm mee kuning
  • 2 sudu besar cili kisar/boh
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 pohon sawi
  • 1 genggam tauge
  • 2 keping tauhu keras
  • 1 biji kentang
  • 2 biji telur ayam
  • 1 sudu besar kicap lemak manis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • ½ cawan air
  • 3 sudu besar minyak masak


Bahan Tabur

  • 2 batang daun bawang
  • Cili jeruk
  • Kacang goreng tumbuk


Persediaan Bahan-bahan

  • Bilas mee dengan air paip. Potong sedikit, kemudian tuskan.
  • Rebus kentang, kemudian potong dadu.
  • Cencang bawang putih dan bawang merah.
  • Ketuk batang sawi, kemudian potong. Asingkan daun dan batang.
  • Bilas tauge, dan tuskan. Hiris daun bawang.
  • Pecahkan telur ke dalam mangkuk. Pukul sedikit.

meee goreng mamak

Mee goreng mamak versi simple (tanpa kentang dan tauhu goreng)


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan mee goreng mamak.

  1. Panaskan kuali, kemudian masukkan minyak.
  2. Masukkan tauhu dan kentang rebus, goreng sekejap kemudian angkat. Hiris nipis tauhu dan ketepikan bersama kentang.
  3. Masukkan bawang merah dan bawang putih. Tumis sehingga bawang putih kekuningan.
  4. Kemudian masukkan cili boh dan tumis sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan mee, batang sawi, garam dan gula dan air. Besarkan api dan kacau-goreng sehingga air kering.
  6. Masukkan kentang, hirisan tauhu goreng, daun sawi, taugeh dan kicap. Kacau rata.
  7. Bila sayur layu, kecilkan api, tolak mee ke tepi kuali, titiskan sedikit minyak di tengah kuali dan masukkan telur. Tutup telur dengan mee dan biarkan seketika (20 saat).
  8. Besarkan api dan kacau mee sehingga sebati dengan telur.
  9. Akhir sekali, tutup api, angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Hidangkan mee goreng mamak panas-panas bersama taburan daun bawang, bawang goreng, kacang tumbuk dan cili jeruk.

Click to go to top