Resepi Kuah Spaghetti Bolognese Mudah

Cara masak kuah spaghetti Bolognese. Kuah atau sos Bolognese/Bolognaise ialah kuah pasta berasaskan tomato yang ditambah dengan daging. Ia adalah kuah pasta yang popular kerana daging menambah rasa savori/umami yang sememangnya disukai ramai.

Memasak kuah merah ini agak mudah dan bahan-bahannya pun tak banyak. Daging boleh diganti dengan ayam, meatball, ikan atau makanan laut. Kalau nak lagi sedap boleh tambah cendawan. Kuah spaghetti bolognese pasti disukai seisi keluarga terutama anak-anak sebab tak pedas.

Kuah ini sedap dihidangkan dengan sebarang jenis pasta seperti spaghetti, makaroni, penne atau fettuccine. Kami sekeluarga cukup suka spaghetti bolognese, spaghetti carbonara dan juga spaghetti marinara.

Berikut kami kongsikan cara memasak kuah bolognese dengan daging, digandingkan dengan penne.


Resepi Kuah Spaghetti Bolognese Daging

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 40 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat penne bolognese (kuah bolognese + penne).

  • 1 pek 500gm penne (atau spaghetti, makaroni etc.)
  • 2 keping daging kisar Ramly (400gm)
  • 1 tin besar 430gm tomato puree
  • 1 batang lobak merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 biji bawang besar
  • 2 sudu kecil serbuk cili (tambah kalau nak pedas)
  • 1 sudu kecil lada hitam
  • 2 helai daun bay/salam kering
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu besar gula
  • Garam jika perlu


Penyediaan Bahan-bahan

  1. Nyah beku kepingan daging kisar, kemudian hancurkan dengan garpu atau jari.
  2. Cencang bawang putih dan bawang besar.
  3. Potong dadu kecil lobak merah.
  4. Tumbuk lada hitam.

resepi spaghetti bolognese simple mudah sedap, spaghetti buat sendiri ala chef wan, azie kitchen, prego, kimball

Penne bolognese ... simple tapi lazat


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan penne bolognese.


⦿ Cara Memasak Penne
  1. Masak pasta penne sehingga al-dente, angkat dan tuskan. (Rujuk cara merebus pasta). Jangan buang air rebusan. Simpan dulu untuk diguna kemudian.

⦿ Cara Memasak Sos Bolognese
  1. Panaskan minyak dalam periuk dengan api sederhana kecil. Tumis bawang besar, bawang putih sehingga layu.
  2. Masukkan daging kisar dan masak sehingga daging keperangan.
  3. Masukkan serbuk cili dan dan tumis sehingga naik bau.
  4. Masukkan tomato puri, lada hitam, daun bay, gula, dua tin air dan satu cawan air rebusan spaghetti. (Masukkan garam jika tiada air rebusan). Kacau sebati.
  5. Biarkan mereneh dengan api kecil, kacau sekali-sekala sehingga kuah pekat dan warna merah gelap.
  6. Matikan api, angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Kuah/sos bolognese sedap dimakan panas-panas. Tuangkan kuah yang telah di masak ke atas pasta bila nak makan. Taburkan parutan keju atau chilli flakes jika suka.


Tip

Kuah bolognese ni akan jadi lebih sedap jika disimpan semalaman dalam peti sejuk. Panaskan dulu sebelum makan.