Resepi Ikan Singgang Kelantan

Ikan masak singgang Kelantan. Ikan singgang ialah sejenis sup masakan rebus ala kampung paling mudah. Masakan yang amat simple: tak perlu menumis, tidak menggunakan santan, tidak berminyak ... sesuai benar untuk mereka yang sedang berdiet.

Ikan singgang sedap dimakan dengan nasi putih, ulam-ulaman dan tidak ketinggalan budu.

Berikut kami kongsikan resipi singgang ikan tenggiri.


Resipi Singgang Ikan Tenggiri Kelantan

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk ikan singgang. Ikan tenggiri boleh juga diganti dengan ikan tongkol/aya, kembung, tamban atau selar. Bagi yang suka sayuran, singgang ni boleh juga ditambah bendi atau kacang panjang.

  • 2 potong ikan tenggiri
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci lengkuas
  • 2 keping asam gelugor
  • 5 biji cili padi
  • 1 biji cili hijau
  • 1 batang serai
  • 3 cawan air
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Serbuk perasa

Nota: Perbezaan ikan singgang Kelantan dan Terengganu: singgang Terengganu menggunakan bahan tambahan iaitu kunyit, jadi warna kuahnya kekuningan sedikit.

Kat Filipina pun ada singgang, mereka panggil sinigang.


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong ikan, bersihkan, kemudian tuskan. Lagi senang kalau kasi potong siap-siap semasa dibeli.
  • Hiris bawang putih dan potong nipis lengkuas.
  • Potong serong serai dan cili hijau.

ikan singgang tenggiri 1

Ikan tenggiri singgang ... yummy


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak ikan singgang.

  1. Masukkan air, bawang putih, lengkuas, serai dan asam keping ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana sehingga mendidih.
  2. Masukkan ikan tenggiri, cili padi, garam dan gula. Biarkan ia mereneh seketika sehingga ikan empuk (lebihkurang 5 minit). Jangan lama sangat nanti ikan hancur.
  3. Rasa samada kuah dah cukup masin dan masam. Singgang sepatutnya sedikit masam. Keluarkan asam keping jika dah cukup rasa masam.
  4. Akhir sekali masukkan cili hijau.
  5. Masak sekejap kemudian matikan api, angkat dan hidangkan.
Click to go to top