Sayur Goreng Bunga Kobis Dengan Udang

Sayur goreng bunga kobis, kobis dan udang. Masakan ini menggunakan kaedah kacau goreng atau stir fry. Ianya mudah dan cepat, dan sayur kekal rangup.

Berikut kami kongsikan resipi sayur kacau goreng kobis, bunga kobis dengan udang.


Resipi Sayur Goreng Bunga Kobis, Kobis dan Udang

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk kacau goreng bunga kobis, kobis dan udang.

  • 200 gm bunga kobis
  • 100 gm kobis bulat
  • 5 ekor udang segar saiz sederhana
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 cm halia
  • 1 biji cili hijau
  • 3 sudu besar minyak masak
  • Garam dan serbuk perisa


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan dan potong kasar bunga kobis dan kobis.
  • Bersihkan udang.
  • Mayang bawang putih dan halia.
  • Potong serong cili hijau.

sayur goreng bunga kobis, kobis dan udang denga sos tiram


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk mengacau goreng (stir fry) sayur bunga kobis, kobis dengan udang.

Pastikan bahan-bahan berada berdekatan kerana proses memasak ni sangat cepat. Sentiasa mengacau supaya bahan-bahan masak sekata dan tidak hangus.

  1. Panaskan kuali, kemudian masukkan minyak.
  2. Bila minyak mula berasap, masukkan bawang putih dan halia. Tumiskan sehingga bawang putih kekuningan.
  3. Kemudian masukkan udang.
  4. Bila udang bertukar ke warna kemerahan, masukkan sos tiram, bunga kobis, garam dan serbuk perisa. Kacau selama lebihkurang 2 minit.
  5. Masukkan kobis dan cili hijau dan kacau sehingga kobis layu.
  6. Angkat dan hidangkan panas-panas.