Resepi Ayam Percik Kelantan

Resepi ayam percik Kelantan. Ayam percik amat popular di negeri Kelantan dan Terengganu terutama sekali bulan puasa dan biasanya banyak dijual di bazar Ramadhan.

Ayam percik Kelantan asli berkuah berwarna putih, tidak pedas dan mesra kanak-kanak. Manakala ayam percik Terengganu berkuah kemerahan.

Berikut kami kongsikan cara mudah memasak ayam percik Kelantan.


Resipi Ayam Percik Kelantan

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 35 minit ♦ Hidangan: 8 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ayam masak percik Kelantan.

  • 1 ekor ayam
  • 2 cawan santan pekat
  • 10 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 batang serai
  • 1 sudu besar tepung beras/jagung (untuk memekatkan kuah)
  • ½ keping asam gelugor
  • 1 sudu kecil lada sulah
  • 1 sudu besar gula
  • 1 cawan air
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai, lada sulah, garam dan gula dengan sedikit air.
  • Potong ayam kepada empat bahagian atau lebih kecil. Bersihkan, kelar dan tuskan.
  • Gaulkan ayam dengan bahan kisar dan perapkan selama sekurang-kurangnya setengah jam.

ayam percik putih kelantan asli sedap

Ayam percik putih Kelantan yang asli ... tak pedas dan memang sedap


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak ayam percik ala Kelantan.

  1. Masukkan ayam bersama perapan ke dalam periuk. Tambah secawan air, kacau, tutup periuk dan rebus dengan api sederhana.
  2. Bila ayam masak, keluarkan ayam dari periuk untuk dipanggang.
  3. Masukkan santan, asam keping dan tepung beras ke dalam periuk berisi perapan tadi dan masak dengan api kecil sehingga kuah pekat. Sentiasa kacau supaya santan tidak berketul dan pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula sebelum diangkat. Keluarkan asam keping kalau dah cukup rasa masam.
  4. Panggang ayam di atas bara api, dalam oven atau menggunakan pemanggang ajaib. Bila ayam dah keperangan, lumurkan kuah percik pada ayam dan teruskan memanggang hingga garing. Terbalikkan ayam dan ulangi proses melumur kuah dan memanggang beberapa kali sehingga kuah melekat pada ayam dan ia masak sekata.
  5. Angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Tuangkan kuah ke atas ketulan ayam bila menghidang. Ayam percik Kelantan sesuai dimakan bersama nasi putih, nasi kerabu atau pulut kuning.

Click to go to top