Resepi Karipap Kentang Rangup

Resipi kuih karipap rangup inti kentang. Kuih karipap merupakan kuih yang digemari ramai dan dinikmati bila-bila masa - sarapan pagi, minum petang ataupun kudapan di masa-masa lain. Terdapat berbagai variasi karipap - karipap biasa, karipap pusing, karipap kulit rangup; dengan bermacam bahan inti - kentang, sardin, keledek dan banyak lagi.

Kali ini kami kongsikan cara membuat karipap kulit rangup inti kentang untuk anda cuba masak sendiri.


Resepi Kuih Karipap Rangup

Masa persediaan: 40 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 20 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi karipap rangup.


Bahan-bahan Pastri
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/4 cawan marjerin
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 2/3 cawan air sejuk (dari peti ais)
  • Gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menggoreng

Bahan-bahan Inti
  • 3 biji ubi kentang saiz sederhana
  • 100gm daging
  • 3 sudu besar (rata) serbuk kari daging
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 tangkai daun kari
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 3 sudu besar minyak
  • 1/2 cawan air


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan daging, kemudian cencang.
  • Kupas dan basuh kentang dan bawang besar. Kemudian potong dadu kecil-kecil.
  • Cencang bawang merah.
  • Lurut daun kari dan bancuh serbuk kari supaya menjadi pes.

karipap rangup inti kentang daging

Karipap rangup ... memang sedap dinikmati panas-panas untuk minum petang


Cara Penyediaan

Berikut adalah langkah-langkah memasak karipap kentang kulit rapuh.


Memasak Inti
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah, bawang besar dan daun kari sehingga naik bau.
  2. Masukkan pes kari dan kacau sehingga ia pecah minyak.
  3. Masukkan daging, kacau dan masak selama beberapa minit sehingga ia berubah warna.
  4. Masukkan kentang, garam, air dan kacau sebati. Kemudian tutup kuali dan dan masak hingga kentang empuk dan intinya agak kering.
  5. Angkat dan biarkan sejuk.

Menyediakan Pastri/ Doh Rapuh dan Karipap
  1. Panaskan minyak masak bersama marjerin.
  2. Masukkan tepung gandum dan garam ke dalam mangkuk kaca, gaul rata, kemudian buat lubang di tengah-tengah.
  3. Tuang minyak+marjerin panas ke dalam lubang. Gaul sebati menggunakan sudip.
  4. Uli sambil memasukkan air sedikit demi sedikit sehingga doh tidak melekat di tangan dan mangkuk.
  5. Canai doh kepada ketebalan 3 mm. Terap doh dengan penerap bulat untuk membentuk kulit karipap.
  6. Ambil satu keping kulit karipap, isikan dengan satu sudu besar inti dan basahkan tepinya dengan sedikit air.
  7. Lipat kulit karipap untuk menutup inti, picit-picit tepi untuk mencantumkan kulit karipap, kemudian kelim.
  8. Ulangi sehingga habis doh / inti.

Memasak Karipap
  1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng dalam minyak banyak (deep fry). Balikkan sekali supaya masak sekata sehingga kuning keemasan.

    (Jika ingin dibakar, atur karipap dalam dulang pembakar, sadur bahagian atasnya dengan telur yang dipukul dan bakar dalam oven yang panas hingga kuning sama rata).

  2. Angkat, tuskan minyak dan letak atas pinggan yang dilapik dengan paper towel atau tisu.
  3. Hidangkan panas-panas atau sejuk.

Selamat mencuba resepi kuih karipap rangup inti kentang.

Click to go to top