Resepi Kuih Seri Muka Sukatan Cawan

Resipi kuih seri muka lembut sukatan cawan. Kuih seri muka - cantik dipandang sedap dimakan, dan tak susah untuk disediakan. Teksturnya lembut, rasanya lemak manis dan baunya wangi. Sangat sesuai untuk hidangan sarapan pagi, minum petang atau jamuan.

Berikut kami kongsikan resipi kuih seri muka sukatan cawan untuk anda cuba sendiri di rumah.


Resepi Kuih Seri Muka

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 50 minit ♦ Hidangan: 24 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi kuih seri muka.


Lapisan Atas (Kastad pandan)
  • 5 sudu besar tepung gandum
  • 2 sudu besar tepung jagung
  • 1 kotak santan
  • 2 biji telur gred A
  • ¾ cawan gula pasir
  • ½ cawan air pandan (dari 8 helai daun pandan)
  • ½ sudu kecil garam
  • Pewarna hijau - optional

Lapisan Bawah (Pulut)
  • 1½ cawan beras pulut
  • ½ kotak santan
  • ½ cawan air
  • 1 sudu kecil garam


Persediaan Bahan-bahan

  • Basuh beras pulut sehingga bersih. Rendam selama 1 jam, kemudian tuskan.
  • Kisar daun pandan yang telah dipotong pendek-pendek dengan secawan air. Kemudian tapis dan dapatkan setengah cawan air pandan.
  • Sediakan loyang bersaiz 7x7 inci, sapukan minyak pada permukaan dalam loyang supaya kuih tidak melekat pada loyang.

kuih seri muka

Kuih seri muka sedap, lemak, manis, wangi dan cantik ... sesuai untuk pelbagai acara


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah memasak kuih seri muka.

  1. Satukan bahan-bahan lapisan bawah (beras pulut yang telah direndam, air, santan dan garam) di dalam loyang. Kukus dengan api besar selama 20 minit.
  2. Sementara pulut sedang dikukus, sediakan lapisan atas: Masukkan semua bahan untuk lapisan atas di dalam blender. Kisar hingga adunan sebati dan tiada ketulan. Kemudian tapiskan.
  3. Setelah cukup 20 minit, keluarkan pulut dari pengukus. Terus tekan-tekankan pulut yang panas dengan sudip supaya padat. Pastikan tiada lubang.
  4. Ketika lapisan pulut masih panas, tuangkan adunan kastad pandan ke atas pulut.
  5. Kukus kuih dengan api sederhana sehingga masak (kira-kira 25-30 minit).
  6. Setelah masak, keluarkan kuih dari pengukus dan biarkan ia sejuk.
  7. Bila dah sejuk, potong menggunakan pisau yang disapu minyak masak atau gunakan pisau plastik supaya kuih tak melekat pada pisau.

Selamat mencuba resepi kuih seri muka lembut lemak manis.


Tip

  • Lapisan pulut mestilah panas semasa menuangkan adunan kastad pandan, jika tidak, lapisan kastad tidak akan melekat pada pulut setelah masak.
  • Untuk mengelakkan wap air dari menitik ke atas kuih, balut penutup pengukus dengan tuala.