Resepi Kuih Cara Berlauk Sedap

Resipi kuih cara berlauk. Kuih cara berlauk hampir sama sahaja dengan kuih cara manis, cuma ia berintikan lauk (protin) dan biasanya berwarna kuning. Manakala kuih cara manis berintikan gula dan berwarna hijau pandan. Kuih ini rasanya lemak, masin dan sedikit pedas. Sangat popular di bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa.

Kuih ini sesuai dihidangkan di sebarang majlis atau kenduri. Ia juga sesuai dijadikan buah tangan bila bertandang ke rumah rakan taulan.

Berikut kami kongsikan cara membuat kuih cara berlauk lembut dan sedap.


Resepi Kuih Cara Berlauk

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 35 minit ♦ Hidangan: 30 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi kuih cara berlauk.


Bahan-bahan tepung
  • 2 cawan tepung gandum
  • 2 biji telur
  • 1 sudu kecil minyak sapi
  • 3 cawan santan cair
  • ½ sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna kuning

Bahan-bahan inti
  • 200gm daging / daging ayam tanpa tulang
  • 2 biji bawang besar
  • 3 biji bawang kecil
  • 1 ulas bawang putih
  • 1½ sudu besar rempah kari ayam
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 biji cili merah
  • Bawang goreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Satukan semua bahan tepung - tepung gandum, telur, santan, air, garam dan pewarna kuning di dalam blender dan kisar. Kemudian tapis masuk ke dalam jag atau sebarang bekas bermuncung.
  • Kisar daging ayam menggunakan blender.
  • Cencang halus bawang besar, bawang merah dan bawang putih.
  • Hiris kecil-kecil cili merah.

kuih cara berlauk

Kuih cara berlauk ... lemak masin, dan ada lauk di dalamnya


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara memasak kuih cara berlauk.


Cara Memasak Inti

  1. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan putih hingga kekuningan.
  2. Masukkan rempah kari dan kacau sehingga pecah minyak.
  3. Kemudian masukkan ayam kisar, bawang besar dan air secukupnya. Kacau dan masak sehingga daging/ayam empuk.
  4. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Kemudian matikan api, angkat dan ketepikan.


Cara Memasak Kuih

  1. Panaskan acuan kuih cara di atas dapur dengan api sederhana kecil.
  2. Sapukan minyak pada setiap lubang menggunakan paper towel atau tisu.
  3. Tuangkan adunan sehingga 90 peratus penuh ke dalam setiap lubang.
  4. Kemudian letak anggaran ½ sudu kecil inti diikuti dengan satu hirisan cili merah dan bawang goreng pada setiap lubang. Tutup acuan dengan tudung periuk.
  5. Selepas 2-3 minit, angkat tudung periuk, cungkil dan intai bahagian bawah kuih. Kalau ia kelihatan sedikit garing, ini bermakna kuih cara sudah masak dan boleh diangkat.
  6. Ulang proses sehingga habis adunan.

Selamat mencuba!

Click to go to top