Resepi Nasi Goreng Pattaya

Nasi goreng pattaya adalah nasi goreng yang dibungkus dengan telur dadar. Bunyi macam masakan Thailand tapi sebenarnya ia berasal dari Malaysia. Ia merupakan menu nasi goreng yang cukup popular, terutama di kalangan kanak-kanak. Dari luar nasi goreng pattaya nampak sama macam telur bungkus.

Berikut kami kongsikan resipi cara buat nasi goreng pattaya.


Resepi Nasi Goreng Pattaya

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 1 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat nasi goreng pattaya.

  • 1 cawan nasi sejuk
  • 1 sudu besar isi ayam
  • 2 ekor udang segar
  • 1 ekor sotong
  • 2 biji telur
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar sayur campur (lobak merah, jagung, kacang pea)
  • 1 biji cili merah
  • 1 sudu kecil kicap manis
  • 1 sudu kecil sos tiram
  • 1/4 sudu kecil lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • 1 pokok daun sup - optional
  • Sos cili
  • Minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  1. Bersihkan isi ayam dan udang, kemudian cencang. Potong sotong.
  2. Cencang bawang putih dan hiris cili merah.
  3. Pecahkan telur, letak secubit garam dan pukul ringan.

nasi goreng pattaya


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat nasi goreng pattaya.

  1. Memasak nasi goreng. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis bawang putih sampai kekuningan.
  2. Masukkan udang, sotong dan ayam. Kacau rata sehingga ayam masak.
  3. Kemudian masukkan nasi, sayur campur, garam, sos tiram, kicap manis dan lada sulah. Kacau rata sehingga keseluruhan nasi masak sekata.
  4. Akhir sekali masukkan cili merah,. Kacau seketika, kemudian matikan api.
  5. Memasak telur bungkus. Dalam kuali berasingan, panaskan 2 sudu besar minyak dengan api kecil. Ratakan minyak ke seluruh permukaan kuali. Bila minyak mula berasap, masukkan telur yang telah dipukul, lenggang kuali supaya telur menjadi besar dan nipis rata.
  6. Apabila telur masak, matikan api dan masukkan nasi goreng di tengah-tengah telur dan bungkus nasi dengan telur kepada bentuk segi empat.
  7. Kemudian ambil pinggan kosong dan telangkupkan di atas bungkusan nasi. Tekan pinggan dengan tapak tangan, terbalikkan kuali dan sambut nasi goreng pattaya ke dalam pinggan.


Cadangan Hidangan

Hiaskan nasi goreng pattaya dengan daun salad, hirisan timun, daun sup dan sos cili. Hidangkan panas-panas.

Click to go to top