Nasi Goreng Ikan Bilis Paling Mudah

Cara membuat nasi goreng ikan bilis paling mudah a.k.a. nasi goreng campak-campak. Nak buat nasi goreng tak perlu tunggu cukup bahan baru nak mula masak. Gunalah apa saja bahan protin dan sayuran yang ada dalam peti sejuk. Yang penting ada nasi sejuk, bahan lain boleh main campak-campak jer.

Berikut kami kongsikan resepi nasi goreng ikan bilis paling mudah.


Resipi Nasi Goreng Ikan Bilis Paling Mudah

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Selain bahan utama iaitu nasi, ikan bilis dan bawang putih, gunalah apa sahaja bahan lauk/protin dan sayuran yang anda ada. Berikut adalah bahan-bahan yang kami gunakan.

  • 3 mangkuk nasi sejuk
  • 1 genggam ikan bilis
  • 3 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1 biji cili merah
  • 1 biji cili hijau
  • ½ batang lobak merah (karot)
  • 3 batang putik jagung
  • 2 sudu besar sos tiram
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa – optional
  • 3 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Leraikan nasi supaya tidak berketul.
  • Bersihkan ikan bilis. Rendam 15 minit untuk lembutkan, kemudian tuskan.
  • Cencang bawang putih dan bawang merah.
  • Kupas putik jagung kemudian potong bulat. Belah empat lobak merah kemudian potong. Hiris nipis serong cili hijau dan cili merah.

nasi goreng paling mudah

Nasi goreng campak-campak ... mudah dan enak


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan nasi goreng ikan bilis.

Pastikan bahan-bahan berada berdekatan dan senang dicapai kerana proses menggoreng nasi ni tersangatlah pantas (mod ekspres).

  1. Panaskan kuali dengan api sederhana besar, kemudian masukkan minyak.
  2. Masukkan ikan bilis, goreng sekejap. Bila dah nak garing, masukkan bawang putih dan bawang merah.
  3. Tumis sehingga ikan bilis garing dan bawang putih kekuningan.
  4. Kemudian masukkan lobak merah, putik jagung, sos tiram, garam dan serbuk perasa. Kacau sekejap (dalam 1 minit).
  5. Masukkan nasi dan kacau goreng 3-4 minit sehingga keseluruhan nasi sebati dengan tumisan, mesra rasa dan masak sekata.
  6. Tutup api, angkat dan hidangkan panas-panas.
Click to go to top