Resepi Lepat Pisang Sedap
Resipi lepat atau belebat pisang. Kuih lepat pisang atau belebat pisang adalah kuih kukus tradisional yang masih popular. Rasanya lemak manis, baunya harum dan senang dibuat. Cara membuatnya hampir sama dengan belebat ubi keledek, cuma lepat pisang ni biasanya memerlukan lebih masa untuk mengukus kerana saiz lebih besar.
Berikut kami kongsikan resipi cara membuat kuih lepat pisang yang sedap dan lembut.
Resepi Lepat Pisang
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat lepat pisang. Pisang yang sesuai ialah pisang kapas, pisang awak, pisang abu atau pisang berangan.
- 1 cawan tepung gandum
- 3 sudu besar tepung beras
- 12 biji pisang yang masak ranum
- 1/2 cawan kelapa parut
- 2 sudu besar gula pasir
- 2 sudu besar gula merah
- 1/2 sudu kecil garam
- Daun pisang
Persediaan Bahan-bahan
Adunan
- Kupas pisang dan lenyek di dalam mangkuk besar bersama gula pasir, gula merah dan garam sehingga hancur.
- Masukkan tepung gandum, tepung beras dan kelapa parut dan gaul sehingga sebati. Kemudian ketepikan.
Daun Pisang Pembungkus
- Potong daun pisang kepada bentuk segi empat tepat (saiz lebihkurang 15cmx25cm memanjang mengikut urat) dan lap bersih.
- Layurkan di atas api sehingga layu/berkilat - supaya daun pisang tidak koyak semasa membungkus.
Cara Memasak Lepat Pisang
Berikut adalah langkah-langkah untuk mengukus lepat pisang.
- Panaskan pengukus.
- Ambil daun pisang, letak 2 sudu besar adunan memanjang mengikut urat daun. Lipat kiri kanan, kemudian atas bawah. Ulangi sehingga adunan habis.
- Bila air pengukus mendidih, susun kuih lepat di dalam pengukus dan kukus selama 20-25 minit.
- Cucuk kuih dengan lidi atau garpu, jika tidak melekat, tandanya kuih telah masak.
- Keluarkan dari pengukus, biarkan sejuk sebelum dihidangkan.
Cadangan Hidangan
Lepat pisang sesuai dihidangkan bersama kopi atau teh untuk sarapan pagi atau minum petang.