Resepi Kuih Lompat Tikam Kelantan

Resepi kuih lompat tikam. Lompat tikam merupakan kuih tradisional Kelantan yang popular terutama di bulan Ramadan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk hidangan jamuan dan kenduri kerana rupanya yang berwarna-warni.

Kuih lompat tikam Kelantan asli terdiri dari empat komponen utama pelbagai warna iaitu tepung hijau, kepala santan putih, pulut merah, dan air gula melaka perang.


Resipi Kuih Lompat Tikam Kelantan

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 40 minit ♦ Hidangan: 10 orang


BAHAN-BAHAN

Berilkut adalah bahan-bahan untuk memasak kuih lompat tikam. Walaupun bahan-bahan nampak banyak, tapi semuanya bahan asas yang mudah didapati di rumah.


⦿ Bahan-bahan Untuk Tepung Hijau
  • 2 cawan tepung beras
  • 4 cawan air
  • 1 sudu kecil air kapur
  • 1 cawan air daun pandan
  • Sedikit pewarna hijau

⦿ Bahan-bahan Untuk Kepala Santan Putih
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu besar tepung beras/jagung - bancuh dengan sedikit air
  • 1/2 cawan air
  • 1/2 sudu kecil garam

⦿ Bahan-bahan Untuk Pulut Merah
  • 2 cawan beras pulut
  • 2 cawan air
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1/4 sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna merah

⦿ Bahan-bahan Sirap / Air Gula Melaka
  • 2 keping / 1 ketul gula melaka
  • 1 cawan air
  • 2 helai daun pandan - carikkan dan simpul


CARA MEMASAK

Berikut adalah cara memasak setiap komponen kuih lompat tikam - tepung, pulut, kepala santan dan sirap gula melaka ('nisey cair).


Tepung Hijau

Langkah-langkah untuk memasak tepung hijau lompat tikam:

  1. Satukan semua bahan dan kacau sehingga sebati.
  2. Masakkan sambil mengacau sehingga likat berkilat.
  3. Masukkan ke dalam bekas atau loyang dan sejukkan.
  4. Potong bila ia betul-betul sejuk.

Kuah/Kepala Santan Putih

Langkah-langkah untuk memasak kepala santan untuk kuih lompat tikam:

  1. Masakkan santan bersama garam dengan api sederhana. Sentiasa kacau.
  2. Bila mendidih, masukkan bancuhan tepung beras.
  3. Kacau sebentar sehingga santan masak dan menjadi sedikit pekat. Jangan terlalu pekat dan jangan sampai pecah minyak.
  4. Angkat dan sejukkan.

Bila dah sejuk, kepekatan kuah santan sepatutnya sama dengan kepekatan telur putih separuh masak. Rasanya sedikit masin.


Pulut Merah

Langkah-langkah untuk menyediakan pulut merah untuk lompat tikam:

  1. Campurkan beras pulut, air, minyak masak dan masak dalam rice cooker macam masak nasi.

Sirap/Air Gula Melaka ('Nisey Cair)

Langkah-langkah untuk menyediakan sirap gula melaka untuk lompat tikam:

  1. Satukan gula melaka, air dan daun pandan di dalam periuk.
  2. Masak sehingga pekat, kemudian angkat.

kuih lompat tikam kelantan asli sedap

Kuih lompat tikam Kelantan, berwarna warni dan rasa lemak manis masin.


Cara Hidangan

Kuih lompat tikam enak dimakan sejuk. Letak potongan tepung hijau dan pulut di dalam pinggan/mangkuk, kemudian tuangkan kuah santan ke atasnya dan akhir sekali tuangkan air manisan.