Resepi Bubur Jagung Bersagu

Bubur jagung adalah manisan pencuci mulut yang popular untuk juadah berbuka puasa atau untuk minum petang. Ia sedap dimakan begitu sahaja atau dicicah roti putih.

Bubur jagung bersagu rasanya sedap dan lemak manis. Ia sangat mudah dan cepat untuk disediakan.

Berikut kami kongsikan resipi bubur jagung bersagu dengan sukatan cawan


Resipi Bubur Jagung Bersagu

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 4 - 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bubur jagung campur sagu.

  • 2 cawan jagung manis (dari 2 tongkol jagung)
  • 1 cawan / kotak kecil santan
  • 5 sudu besar biji sagu mata ikan
  • ½ cawan gula pasir (atau gula perang)
  • 5 cawan air
  • 1 helai daun pandan
  • Secubit garam

Anda boleh gunakan jagung segar, jagung sejuk beku atau jagung dalam tin. Santan boleh digantikan dengan susu segar.


Persediaan Bahan-bahan

  1. Hiris jagung dari tongkolnya. Hiris 2 kali pada setiap sisi agar setiap biji jagung terpotong dua - supaya keluar rasa jagung dan mudah empuk. Kalau menggunakan jagung sejuk beku, keluarkan jagung dari peti ais dan defrost.
  2. Bilas sagu dengan air kemudian tuskan.
  3. Siat dan simpul daun pandan.

bubur jagung bersagu lemak manis sedap


Cara Memasak Bubur Jagung

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat bubur jagung bersagu.

  1. Masukkan jagung, air dan daun pandan ke dalam periuk dan masak dengan api sederhana.
  2. Bila jagung empuk, masukkan sagu dan kacau supaya sagu tidak bergumpal.
  3. Bila sagu bertukar warna dari putih ke separa jernih (jernih di luar, berbintil putih di dalam), masukkan santan, gula, secubit garam dan kacau perlahan-lahan.
  4. Masak sehingga santan mendidih, kemudian reneh sehingga sagu masak (menjadi jernih) sepenuhnya.
  5. Tutup api, angkat dan hidangkan.


Tip

  • Kalau gunakan jagung dalam tin, masukkan setelah sagu masak. Jangan masukkan garam sebab jagung dalam tin sudah mengandungi garam.