Resepi Asam Pedas Ikan Pari Melaka

Asam pedas ikan pari Melaka. Asam pedas merupakan masakan Melayu yang popular di selatan tanah air iaitu di negeri Melaka dan Johor. Kedua-dua versi - asam pedas Melaka dan juga asam pedas Johor kini sudah terkenal di seluruh Malaysia.

Asam pedas sememangnya sedap dan cara memasaknya agak mudah, boleh masak sendiri di rumah. Berikut kami kongsikan resepi asam pedas ikan pari versi Melaka.


Resipi Asam Pedas Ikan Pari Melaka

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ikan pari masak asam pedas. Jika tak suka ikan pari, ia boleh digantikan dengan ikan lain seperti parang, tenggiri, jenahak, merah atau kembung.

  • 500 gm ikan pari segar
  • 5 biji bawang merah kecil
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ inci halia
  • ½ inci kunyit hidup
  • ½ inci belacan - dibakar
  • 15 tangkai cili kering
  • 10 batang bendi muda
  • 1 biji buah tomato
  • 1 cekak daun kesum
  • Air asam jawa secukupnya
  • 3 cawan air - bergantung kepada kepekatan kuah yang diingini
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 4 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong ikan pari mengikut saiz yang diingini. Basuh dan tuskan.
  • Potong cili kering, buang biji dan rendam dalam air panas sehingga kembang.
  • Kisar cili kering, bawang merah, bawang putih, halia, kunyit dan belacan dengan sedikit air.
  • Belah empat buah tomato.
  • Bakar belacan sekejap di atas tungku dapur sampai keluar bau.

asam pedas melaka asli ikan pari

Asam pedas ikan pari ... sedap sehingga menghirup kuah


Cara Memasak

Berikut adalah cara memasak asam pedas Melaka ikan pari.

  1. Panaskan minyak masak dalam periuk. Tumis bahan-bahan kisar dengan api kecil sehingga garing dan naik minyak.
  2. Masukkan air, air asam jawa dan biarkan mendidih.
  3. Kemudian masukkan ikan pari dan daun kesum. Kacau perlahan dan renehkan seketika hingga ikan pari masak.
  4. Masukkan bendi dan tomato. Perasakan dengan garam dan gula. Rasa masam dan pedas hendaklah seimbang, baru sedap.
  5. Bila sayur lembut, matikan api, angkat dan hidangkan panas-panas.