Resepi Akok Kelantan Sedap

Resepi akok sukatan cawan. Kuih akok ialah kuih tradisi yang popular di negeri Kelantan dan Terengganu. Ia sangat enak dinikmati untuk minum petang ataupun sebagai juadah berbuka puasa di bulan Ramadan. Kuih akok yang asli teksturnya lembut, rasanya lemak manis, baunya wangi dan cair di mulut bila dimakan. Selain perisa biasa (original), perisa pandan dan perisa jagung juga popular.

Berikut kami kongsikan resepi akok sukatan cawan dengan menggunakan oven.


Resipi Kuih Akok

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 24 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat akok.

  • 5 biji telur gred A
  • 1 cawan tepung gandum serbaguna
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 keping nisan / gula melaka
  • ¼ cawan gula pasir
  • 1 cawan air
  • 4 helai daun pandan
  • ¼ sudu kecil garam
  • Sedikit minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Carik-carikkan daun pandan, kemudian simpul.
  • Racikkan gula Melaka supaya cepat larut bila dimasak.

akok asli kelantan

Akok asli Kelantan ... enak dimakan panas atau sejuk


Cara Membuat Kuih Akok

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan kuih akok.

  1. Panaskan oven kepada suhu 200°C menggunakan api atas dan bawah.
  2. Griskan acuan akok dengan minyak masak dan masukkan ke dalam oven.
  3. Buat air gula dengan memasak air, gula pasir, gula melaka dan daun pandan dengan api kecil sehingga mendidih dan cair sepenuhnya. Matikan api dan biarkan sejuk. Keluarkan daun pandan.

  4. Satukan gandum, santan, air gula, telur dan garam di dalam blender. Kisar sehingga sebati. Tapiskan ke dalam bekas, kemudian hentak-hentakkan bekas ke atas kaunter tiga empat kali untuk membebaskan buih dari dalam adunan.
  5. Keluarkan acuan akok dari oven dan tuang adunan ke dalam setiap lubang acuan sehingga hampir penuh.
  6. Masukkan kembali ke dalam oven dan bakar selama 10 minit atau sehingga warna bertukar ke perang keemasan. Akok akan mengembang semasa dimasak dan akan mengecut perlahan-lahan bila dikeluarkan dari oven.
  7. Keluarkan dari oven dan sedia untuk dihidangkan.

Bagi orang Kota Bharu lepas ni kalau nak makan akok sedap, dah tak perlu cari akok Salor atau akok RISDA. Buat jer sendiri di rumah.

Click to go to top