Resepi Kerabu Maggi Sedap

Kerabu Maggi (kerabu mee segera / ramen) sedap. Kerabu maggi merupakan cara alternatif bagi persediaan mee segera selain dari merebus. Kerabu maggi yang sedap mempunyai rasa masam, manis, masin dan pedas, tekstur mee yang kenyal dan sayuran yang rangup.

Berikut kami kongsikan cara membuat kerabu maggi yang simple tapi sedap.


Resepi Kerabu Maggi

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 5 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi kerabu maggi. Kalau tak ada mee segera perisa tomyam, boleh guna perisa asam laksa. Kalau nak guna Maggi Kari pun boleh.

  • 2 paket mi segera Maggi / Mamee perisa tomyam
  • 1 biji bawang besar
  • 1 keping dada ayam
  • 6 biji fish ball
  • 2 biji buah tomato
  • ½ batang carrot
  • 5 biji cili padi
  • 1 biji cili merah
  • 1 biji limau nipis
  • 3 biji limau kasturi
  • 2 pokok daun ketumbar
  • Garam dan gula secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong kecil buah tomato, potong kecil cili padi dan potong serong cili merah. Cencang daun ketumbar. Hiris bulat bawang besar. Kupas dan sagat carrot.
  • Potong kecil dada ayam dan fish ball.
  • Potong lintang limau kasturi.

kerabu maggi sedap

Kerabu maggi ...


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara menyediakan kerabu maggi.

  1. Didihkan air dalam periuk.
  2. Celurkan isi ayam dan fish ball sehingga masak. Kemudian keluarkan dan tuskan.
  3. Masukkan mi segera dan celurkan sehingga lembut, tapi masih kenyal. Kemudian angkat, tuskan dan masukkan ke dalam mangkuk besar (supaya senang nak gaul nanti).
  4. Cairkan gula dan garam dalam 2 sudu besar air rebusan
  5. Bila mi segera dah sejuk, masukkan isi ayam, fish ball, cairan gula & garam dan bahan-bahan kerabu lain ke dalam mangkuk mi segera.
  6. Taburkan perencah mee segera (masukkan 1 paket dulu, kalau tak cukup tambah kemudian) dan perahkan limau nipis. Kemudian gaul rata.
  7. Hiaskan dengan limau kasturi dan sedia untuk dihidangkan.


Tip

Untuk hasilkan kerabu maggi yang terbaik, segar dan sedap: Campurkan bahan-bahan kerabu dengan mi segera di saat-saat akhir sejurus sebelum dimakan.

Selamat mencuba resepi kerabu maggi. Kalau nak lagi sedap boleh tambah sotong, udang atau crab stick.

arrow_upward