Resepi Sup Miso Mudah

Cara buat sup miso Jepun. Sup miso (miso shiru dalam bahasa Jepun) sinonim dengan sarapan pagi masyarakat Jepun. Sup miso ringan tapi berkhasiat, segar dan penuh dengan rasa umami.

Dua bahan utama dalam sup miso ialah pes miso dan dashi. Pes miso ialah pes kacang soya yang diperam manakala dashi ialah stok sup yang diperbuat daripada kelp (sejenis rumpai laut) dan ikan bonito kering. Kedua-dua bahan ini memberikan rasa umami kepada sup miso.

Membuat sup miso sangatlah mudah, hanya campurkan bahan-bahan dengan air dan rebus. Tak perlu bawang. Tak perlu tumis menumis. Walau bagaimanapun, nak dapatkan bahan-bahan sup miso terutamanya pes miso yang halal agak susah di Malaysia.

Miso paste halal boleh ditempah di blog Ourkizuna. Pes miso jenama Hikari ini disahkan halal oleh Japan Halal Association (JHA), salah satu badan halal yang diiktiraf JAKIM. Kami beli set sup miso yang terdiri dari miso paste halal, dashi, dan wakame (rumpai laut) kering.

Berikut kami kongsikan resepi mudah sup miso asli, halal dan sedap.


Resepi Sup Miso (Miso Soup)

Masa persediaan: 5 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 2 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi sup miso.

  • 1 sudu besar pes miso
  • 1 sudu kecil rumpai laut (wakame) kering
  • 1 sudu kecil serbuk stok dashi segera
  • 150gm tauhu lembut (1/2 pek)
  • 70gm cendawan – optional
  • 1 batang daun bawang – optional
  • 3 cawan air


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong kiub tauhu lembut.
  • Hiris nipis daun bawang.

sup miso soup

Sup miso ... sedap dihirup bila cuaca sejuk


Cara Memasak

Berikut adalah cara memasak sup miso Jepun.

  1. Masak air di dalam periuk bersama cendawan dan dashi. Kalau nak tambah lobak putih (daikon) pun boleh.
  2. Bila mendidih, kecilkan api sehingga sup berhenti menggelegak. Kemudian masukkan wakame kering dan tauhu lembut.
  3. Pastikan air tidak mendidih ketika pes miso dimasukkan. Miso mengandungi bakteria probiotik yang bagus untuk kesihatan. Air mendidih akan membunuh probiotik dalam miso.
  4. Letak pes miso di dalam senduk atau strainer, kemudian separa selamkan ke dalam sup, lepas tu tenyeh-tenyehkan pes miso menggunakan belakang sudu untuk melarutkannya ke dalam sup.
  5. Bila semua pes dah dilarutkan ke dalam sup, tutup api.
  6. Angkat, dan hidangkan segera panas-panas.

Sendukkan ke dalam mangkuk dan taburkan potongan daun bawang sebelum dinikmati panas-panas. Sup miso sedap dihirup begitu sahaja atau boleh juga dimakan dengan nasi putih.

Selamat mencuba resepi miso soup Jepun.