Resepi Bubur Sagupal

Resipi bubur sagu / kuih sagu berkuah / sagupal. Sagupal (sagu+kepal?) ialah kuih tradisional Kelantan / Terengganu berasaskan sagu. Ia seakan kuih sagu tetapi tanpa kelapa parut, dan berkuah. Rasa kuahnya sama dengan kuah bubur butir nangka.

Terdapat dua versi kuih / bubur sagupal - yang berinti (kacang hijau) dan yang tiada inti. Selain bubur kacang, sagupal juga sering menjadi pilihan untuk hidangan pencuci mulut di kenduri dan jamuan.

Berikut kami kongsikan resipi cara membuat bubur sagu / kuih sagu berkuah / sagupal tanpa inti.


Bahan-bahan Bubur Sagupal

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bubur sagupal warna-warni.

  • 1 cawan sagu biji kecil warna merah (sagu mata ikan)
  • 1 cawan sagu biji kecil warna hijau
  • 2 cawan santan
  • 1 cawan gula pasir
  • 4 cawan air mendidih - untuk memasak sagu
  • 2 helai daun pandan - disimpul
  • 1 cm halia - dimayang
  • Air untuk kuah
  • Garam secukup rasa

resipi bubur sagupal kelantan bubur sagu berkuah


Cara Memasak Bubur Sagupal

Masa memasak: 30 minit

Berikut adalah langkah-langkah memasak sagupal tanpa inti, warna-warni.


Cara Memasak Sagu
  1. Masukkan biji sagu ke dalam dua bekas (loyang) berasingan mengikut warna.
  2. Tuang 2 cawan air mendidih ke dalam setiap bekas sambil mengacau untuk memasak sagu.
  3. Biarkan ia sejuk seketika, kemudian potong sagu tadi kecil-kecil supaya senang dicedok dengan sudu bila nak makan.

Cara Memasak Kuah Bubur
  1. Satukan santan, air, gula pasir, halia, garam dan daun pandan di dalam periuk.
  2. Masak dengan api sederhana sambil mengacau (bagi mengelakkan pecah minyak) sehingga mendidih.
  3. Kemudian masukkan potongan sagu ke dalam kuah. Masak sehingga sagu masak keseluruhannya - sagu akan berubah warna dari putih ke jernih bila masak. Tambah air jika perlu.
  4. Tutup api dan angkat.


Cadangan Hidangan

Hidangan: 5 orang

Bubur sagupal sesuai dihidang untuk minum petang, atau sebagai manisan pencuci mulut.

Click to go to top