Kuey Teow Goreng Dengan Udang Dan Ayam

Kuey teow goreng sesuai untuk sarapan pagi, makan tengahari serta makan malam. Ianya mudah dan cepat disediakan. Cara memasaknya hampir sama dengan mee goreng cuma kuey teow masaknya lebih cepat.

Berikut kami kongsikan resipi kuey teow goreng sedap. Bahan-bahan dan kuantitinya boleh diubah mengikut citarasa anda.


Resipi Kuey Teow Goreng

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 5-6 orang


Bahan-bahan Kuey Teow Goreng

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak kuey teow goreng.

  • 2 bungkus kuey teow (800 gm)
  • 1 cawan isi udang
  • 1 cawan isi ayam
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar cili kisar / boh
  • 2 sudu besar sos cili
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 cawan kobis
  • 1 pokok kailan
  • 3 sudu besar minyak
  • Garam dan gula


Persediaan Bahan-bahan

  • Cuci dan tuskan kuey teow.
  • Potong ayam kecil-kecil dan kopek udang.
  • Cencang bawang putih.
  • Potong kobis dan kailan. Asingkan daun kailan dari batangnya.
  • Satukan sos tiram, kicap manis dan sos cili dalam mangkuk.

kuey teow kue tiaw goreng


Cara Membuat Kuey Teow Goreng

Menggoreng kuey teow sebaiknya menggunakan api besar dan dilakukan dengan pantas. Pastikan bahan-bahan berada berdekatan dan sentiasa mengacau supaya bahan-bahan masak sekata dan tidak hangus.

Berikut adalah langkah-langkah membuat kuey teow goreng.

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bawang putih sehingga kekuningan.
  2. Masukkan cili kisar dan tumis hingga garing.
  3. Masukkan ayam dan udang. Tumis sehingga ayam dan udang masak.
  4. Masukkan batang kailan dan kobis. Kacau sekejap bagi mesra semua bahan.
  5. Masukkan kuey teow dan daun kailan diikuti degan sos campuran. Tambah garam dan gula jika perlu.
  6. Kacau sehingga keseluruhan kuey teow disalut tumisan/sos dan masak sekata. Jangan masak lama nanti kuey teow hancur.
  7. Tutup api, angkat dan hidangkan.
Click to go to top