Resepi Sup Tulang Gearbox

Resepi sup tulang gearbox. Selepas Hari Raya Haji, mesti adalah lebihan tulang lembu korban dalam freezer kan. Nak memasak tulang lembu ni menunya dia agak terhad. Biasanya hanya ada tiga pilihan - samada sup tulang, singgang tulang atau kari tulang.

Kali ini kami masak sup tulang gearbox. Prosesnya mudah, tapi memakan masa. Berikut adalah resipinya.


Resipi Sup Tulang Gearbox

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 60 minit ♦ Hidangan: 2 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk sup tulang gearbox.

  • 2 ketul gearbox (1 batang tulang kaki lembu yang dipotong dua)
  • 2 biji ubi kentang
  • 5 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 paket rempah sup tulang (mengandungi sup bunjut dan rempah kasar)
  • ½ sudu kecil lada hitam
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk perasa

Bahan-bahan tabur/hiasan
  • 2 pokok daun sup
  • 5 biji cili padi
  • Bawang goreng
  • 1 biji limau nipis


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan tulang lembu dan tuskan.
  • Mayang (hiris nipis) bawang putih dan bawang merah. Cencang daun sup, hiris cili api.
  • Ketuk halia dan lengkuas.
  • Kupas kentang kemudian belah empat.

sup tulang gearbox special

Sup gearbox special ... makan sekali sekala takpe


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak sup gearbox, simple tapi power.

  1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan bawang putih, bawang merah, lada hitam dan rempah kasar sehingga garing dan naik bau.
  2. Masukkan halia, lengkuas, sup bunjut dan kacau sekejap.
  3. Kemudian masukkan air secukupnya, masak sehingga mendidih, kemudian masukkan tulang gearbox.
  4. Tutup periuk dan renehkan sehingga daging pada tulang empuk (kira-kira satu jam *).
  5. Semasa mereneh tambah air jika perlu. Bila daging dah hampir empuk, masukkan garam, serbuk perasa lepas tu masukkan ubi kentang.
  6. Bila daging dan kentang empuk, matikan api dan sedia untuk dihidang.

* Kalau menggunakan periuk tekanan (Noxxa, Philips etc.), rebus dengan tekanan tinggi selama 25-30 minit.


Cadangan Hidangan

Hidangkan sup panas-panas bersama taburan bawang goreng, hirisan daun sup dan cili api. Sediakan pisau untuk menghiris daging dan lemak pada tulang, dan straw untuk menyedut sum-sum tulang.

Click to go to top