Ikan Tenggiri Masak Lemak Cili Api

Resepi ikan tenggiri masak lemak cili api Negeri Sembilan. Tenggiri masak lemak cili api ini sesuai untuk mereka yang gemarkan masakan lemak dan pedas. Memasak gulai lemak cili api sememangnya mudah, ringkas dan tidak perlu menumis.

Berikut kami kongsikan cara menyediakan ikan tenggiri masak lemak cili api yang simple.

Selain ikan anda boleh juga cuba ayam masak lemak cili api Negeri Sembilan.


Resipi Ikan Tenggiri Masak Lemak Cili Api

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi masak lemak cili api ikan tenggiri. Kalau nak masak lemak cili api Negeri Sembilan yang asli, jangan masukkan bawang.

  • ½ ekor ikan tenggiri sederhana besar (dalam ½ kg)
  • 15 biji cili api (kurangkan/tambah ikut suka)
  • 1 cawan santan pekat segar (atau 1 kotak kecil santan)
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 biji bawang merah - optional
  • 1 batang serai
  • 1 helai daun kunyit – optional
  • 1 keping asam gelugor
  • 2 cawan air
  • Garam dan gula


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong keping dan bersihkan ikan tenggiri, kemudian tuskan.
  • Tumbuk atau kisar campuran cili api, bawang merah dan kunyit hidup hingga lumat.
  • Ketuk serai.

ikan masak cili padi

Tenggiri masak lemak cili api ... lemak, pedas, sedap


Cara Memasak

Berikut adalah cara menyediakan ikan tenggiri masak lemak cili padi.

  1. Masukkan air, santan, asam gelugor, bahan kisar/tumbuk dan serai yang telah dititik ke dalam periuk.
  2. Masak dengan api sederhana sambil mengacau supaya santan tidak berketul atau pecah minyak. Tambah air jika nak kuah lebih.
  3. Bila kuah menggelegak, masukkan ketulan ikan tenggiri dan daun kunyit.
  4. Renehkan. Kacau kuah di bahagian atas perlahan-lahan supaya isi ikan tidak pecah.
  5. Bila kuah mendidih dan ikan masak, perasakan dengan garam dan gula.
  6. Kemudian padamkan api, angkat dan hidangkan.

Selamat mencuba resepi ikan tenggiri masak lemak cili api.

Click to go to top