Resepi Kuih Cara Manis

Resipi kuih cara manis lembut. Kuih cara manis sama sahaja dengan kuih cara berlauk, cuma ia berintikan gula, bukannya lauk (protin). Teksturnya lembut dan rasanya lemak, masin dan manis. Rasa lemak dan sedikit masin datang dari tepung manakala manisnya datang dari inti gula yang cair.

Berikut kami kongsikan resipi kuih cara manis sukatan cawan.


Resipi Kuih Cara Manis

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 30 pasang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi kuih cara manis.

  • 2 cawan tepung gandum
  • 3 cawan santan cair
  • 2 biji telur
  • 1 sudu teh garam
  • 3 helai daun pandan
  • Pewarna hijau - opsyenal
  • Gula pasir untuk inti
  • Minyak masak untuk sapuan


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong daun pandan dan kisar bersama santan, kemudian tapis. Bersihkan blender.
  • Satukan santan pandan, tepung gandum, telur, garam dan pewarna hijau di dalam blender dan kisar. Kemudian tapis masuk ke dalam jag atau sebarang bekas bermuncung.

kuih cara manis lembut

Kuih cara manis ... lembut, lemak manis dan cair dalam mulut


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah memasak kuih cara manis.

  1. Panaskan acuan kuih cara di atas dapur dengan api sederhana kecil.
  2. Sapukan minyak pada setiap lubang menggunakan paper towel atau daun pandan yang disimpul dan dicarik-carikkan hujungnya.
  3. Tuangkan adunan sehingga hampir penuh ke dalam setiap lubang. Kemudian letak anggaran ½ sudu teh gula pasir pada setiap adunan. Tutup acuan dengan tudung.
  4. Apabila masak (dalam 2-3 minit), cungkil keluar kuih dari acuan dan sejukkan.
  5. Ulang langkah 2 - 4 hingga habis adunan.
  6. Lekatkan kuih secara berpasangan kemudian hidang.