Resepi Ayam Masak Halia

Resipi ayam masak halia. Ayam masak halia merupakan masakan ayam yang senang dan cepat dimasak. Masakan ini ringkas, tetapi rasanya sedap lebih-lebih lagi kalau digandingkan dengan nasi panas, sambal belacan, telur dadar dan ulam timun. Sesuai untuk kanak-kanak kerana ia tidak berapa pedas.

Berikut kami kongsikan resipi ayam masak halia simple tapi sedap. Untuk yang suka masakan yang lebih spicy, bolehlah cuba ayam masak paprik.


Resipi Ayam Masak Halia

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4-5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi ayam masak halia.

  • 500 gm ayam
  • Garam kunyit
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 inci halia muda
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap manis
  • 1 biji cili merah
  • 1 biji bawang besar
  • 2 sudu kecil tepung jagung
  • Sedikit lada sulah
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 1 pokok daun bawang
  • Minyak masak untuk menggoreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong kecil ayam, basuh dan tuskan. Gaulkan ayam dengan sedikit garam kunyit. Ketepikan.
  • Hiris nipis bawang putih. Ketuk dan hiris halia memanjang.
  • Hiris bulat bawang besar. Potong serong cili hijau. Potong pendek daun bawang.
  • Bancuh tepung jagung dengan setengah cawan air.

ayam masak halia

Ayam masak halia ... ringkas tapi sedap


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara memasak ayam masak halia.

  1. Panaskan minyak dalam kuali. Goreng ayam sehingga tiga suku masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Ambil sedikit minyak baki menggoreng ayam dan tumis halia dan bawang putih sehingga garing.
  3. Masukkan ayam yang telah digoreng, sos tiram, kicap, sedikit air dan lada sulah. Kacau sehingga ayam masak sepenuhnya.
  4. Masukkan cili merah dan bawang besar. Masukkan garam dan gula jika perlu. Gaul rata.
  5. Akhir sekali masukkan bancuhan tepung jagung dan kacau sebati.
  6. Bila kuah pekat, padamkan api, angkat, tabur daun bawang dan hidangkan panas-panas.

Semoga resepi ayam masak halia ini dapat membantu mempelbagaikan lagi menu masakan harian para pembaca.

arrow_upward