Resepi Cucur Badak

Resepi cucur badak sedap. Cucur badak ialah kuih tradisi masyarakat Melayu yang enak dinikmati untuk sarapan, sebagai kudapan ataupun untuk minum petang. Kuih ini menggunakan bahan-bahan yang mudah didapati. Ianya agak mudah disediakan, tetapi hasilnya sangat sedap.

Kuih ini berasaskan ubi keledek sepertimana cik mek molek dan kuih keria. Berikut kami kongsikan cara memasak cucur badak sukatan cawan.


Resipi Cucur Badak

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 15 biji


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat cucur badak.


Bahan-bahan Kulit
  • 500 gm ubi keledek
  • 1 cawan tepung gandum biasa

Bahan-bahan Inti
  • 2 cawan kelapa parut putih
  • ½ cawan udang kering
  • 6 biji cili kering
  • 1 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 cm kunyit hidup / 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • 2 batang serai (bahagian putih sahaja)
  • ½ cm halia
  • ½ sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu besar gula
  • Sedikit udang kecil untuk topping – optional
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong dan rendam cili kering hingga kembang. Rendam udang kering.

  • Satukan udang kering, cili kering, serai, bawang besar, bawang putih dan daun kunyit dalam blender. Masukkan sedikit air dan kisar hingga lumat.

cucur badak


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan cucur badak.

  1. Kupas ubi keledek, potong dan bersihkan. Rebus ubi dengan sedikit garam hingga empuk, kemudian angkat dan toskan. Lecek panas-panas sehingga hancur dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit, gaul bersama ubi keledek hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Ketepikan seketika.
  3. Untuk inti: Tumis bahan kisar hingga garing dan pecah minyak. Masukkan garam dan gula. Masukkan kelapa parut dan kacau sehingga sebati. Bila inti masak dan agak kering, angkat dan biarkan sejuk.
  4. Bentukkan doh menjadi bebola-bebola sebesar bola golf. Ambil sebiji bebola, leperkan, letak satu sudu kecil inti di tengah-tengah, kemudian litupkan inti dengan doh. Bulatkan kembali kemudian leperkan sedikit. Letakkan seekor udang kecil di atas doh, tekan sedikit supaya melekat. Buat sehingga habis doh dan inti.
  5. Panaskan minyak dalam kuali dengan api sederhana. Goreng sehingga kuning keemasan. Balik-balikkan kuih semasa menggoreng supaya masak sekata.
  6. Angkat, tuskan dan sedia untuk dihidang.

Selamat mencuba resepi cucur badak.

arrow_upward