Resepi Cekodok Pisang Bulat Gebu

Resepi cekodok pisang lembut, gebu, bulat. Cekodok, jemput-jemput atau dikenali dengan nama cucur adalah kuih yang paling simple dan paling mudah untuk dibuat. Sangat sesuai dicuba mereka yang baru belajar memasak. Bahan utama cucur / cekodok ialah tepung gandum dan air. Ia biasanya ditambah dengan satu bahan perisa contohnya bawang (cucur bawang), ikan bilis (cucur ikan bilis), udang (cucur udang) atau pisang (cucur pisang).

Berikut kami kongsikan cara membuat cucur / cekodok pisang sukatan cawan yang lembut dan gebu.


Resipi Cekodok Pisang

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat cekodok pisang.

  • ½ kg pisang kapas / emas / awak / berangan yang masak ranum
  • 1 cawan tepung gandum
  • 2 sudu besar gula pasir (tambah atau kurangkan ikut suka)
  • ½ sudu kecil soda bikarbonat - optional
  • ½ sudu kecil garam halus
  • Minyak secukupnya untuk menggoreng secara (deep fry)

jemput cekodok pisang


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk membuat cekodok pisang.

  1. Kupas pisang, kemudian lenyekkan bersama garam dan gula menggunakan garpu. Suaikan sukatan gula berdasarkan tahap kemanisan pisang yang digunakan dan juga tahap kemanisan cekodok yang anda suka. Perlu diingat kalau terlebih gula, kuih akan mudah hangus.
  2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit dan gaul sebati. Masukkan gandum secukupnya supaya adunan tidak terlalu lembik tau keras.

    Adunan lembik akan “makan minyak” (menyerap terlalu banyak minyak) dan tidak berbentuk bulat bila digoreng. Jika terlebih gandum, cekodok akan jadi keras dan tak sedap.

  3. Untuk menggoreng cekodok, panaskan minyak banyak dengan api sederhana sehingga betul-betul panas.
  4. Untuk hasilkan cekodok yang bulat dan cantik, lebih baik jemput adunan menggunakan jari, berbanding ceduk menggunakan sudu: Basahkan jari, kemudian jemput sejumlah kecil adunan dan masukkan ke dalam kuali, sebiji-sebiji sehingga cukup untuk sekali goreng.
  5. Goreng cekodok sehingga warna perang keemasan. Balik-balikkan supaya masak sekata. Kemudian angkat dan tuskan di atas bekas berlapikkan paper towel.
  6. Ulangi sehingga habis adunan.
  7. Hidangkan panas-panas.