Daging Goreng Kunyit Dengan Capsicum

Daging goreng kunyit adalah masakan kegemaran kami sekeluarga. Ia masakan simple tapi sangat sedap dan berperisa. Daging goreng kunyit sedap dicampur dengan sedikit sayuran rangup seperti kacang panjang, karot, bunga kobis, kacang buncis atau capsicum. Masakan ringkas ini enak dinikmati panas-panas dengan nasi putih, ikan goreng dan sambal belacan.

Berikut kami kongsikan cara mudah memasak daging goreng kunyit dengan lada benggala.


Resepi Daging Goreng Kunyit Lada Benggala

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 20 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi daging goreng kunyit dengan capsicum.

  • 300 gm daging lembu
  • 1 biji bawang besar Hollland
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji capsicum / lada benggala / bell pepper
  • 5 biji cili padi – optional
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit
  • ½ sudu kecil garam
  • Serbuk perasa – optional
  • 3 sudu besar minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong daging nipis-nipis melintang urat. Kemudian bilas dan tuskan.
  • Gaulkan serbuk kunyit, garam dan potongan daging. Perapkan kira-kira 10 minit.
  • Hiris bulat bawang besar dan ketuk bawang putih.
  • Belah capsicum, buang biji, kemudian potong ikut suka.

daging goreng kunyit capsicum

Daging goreng dengan capsicum sesuai untuk makan tengahari


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak daging goreng kunyit lada benggala.

  1. Masukkan daging ke dalam kuali. Masukkan air hingga tenggelam daging dan masukkan sesudu besar minyak. Rebus dengan api sederhana sehingga daging empuk. Tambah air jika air kering sebelum daging empuk.
  2. Setelah daging lembut dan air kering, masukkan minyak selebihnya, besarkan api dan goreng daging sehingga masak. Tahap masak atau garing ikutlah citarasa anda. Tambah garam dan serbuk perasa jika perlu.
  3. Masukkan bawang besar dan cili padi, kacau sehingga bawang besar agak layu.
  4. Akhir sekali masukkan lada benggala, kacau sekejap kemudian terus matikan api. (Pastikan lada benggala dimasak sekejap sahaja supaya ia kekal rangup. Kalau dah layu/lembik, makan tak sedap).
  5. Angkat dan hidangkan panas-panas.